Lima Remaja Didakwa di Mahkamah Kanak-kanak berhubung Kes Buli

KOTA KINABALU : 20 Ogos 2025 – Lima remaja perempuan bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak hari ini, bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes buli yang dikaitkan dengan pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Kesemua suspek berusia bawah 18 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.05 pagi menaiki sebuah van dengan kawalan ketat, diiringi kenderaan polis.

Mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan atau membuat komunikasi berbentuk ancaman, kesat atau menghina.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan mengesahkan telah meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk mendakwa beberapa individu berdasarkan keterangan yang ada.

AGC turut menegaskan bahawa prosiding inkues tetap akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina, 13.

Allahyarhamah disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pagi 16 Julai.

Kes ini mencetuskan perhatian seluruh negara selepas rakaman video berkaitan kejadian buli berkenaan tular di media sosial, sekali gus mengundang desakan orang ramai agar tindakan tegas diambil terhadap pihak terlibat.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal