Sarawak Bantu Stabilkan Harga Daging Khinzir Melalui Eksport Babi Hidup

KUALA LUMPUR: 18 Ogos 2025 – Usaha kerajaan menstabilkan harga daging khinzir di pasaran domestik susulan penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) kini mendapat sokongan besar dari Sarawak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato Sri Arthur Joseph Kurup, berkata penghantaran babi hidup dari Sarawak ke Semenanjung merupakan langkah segera bagi menampung kekurangan bekalan akibat penyakit itu.

“Sehingga kini, sebanyak 1,600 ekor babi hidup dari Sarawak telah tiba di Pelabuhan Klang untuk tujuan penyembelihan, dan jumlah ini dijangka meningkat dengan permohonan baharu yang diterima,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, penularan ASF memberi kesan besar kepada industri ternakan babi negara apabila jumlah populasi ternakan menurun daripada 1.86 juta ekor pada 2021 kepada hanya 1.24 juta ekor pada 2024.

Selain bergantung kepada bekalan dari Sarawak, Arthur berkata kerajaan turut melaksanakan pelan jangka panjang melalui pembangunan Pig Farming Area (PFA) di beberapa negeri dengan konsep penternakan moden serta kawalan biosekuriti yang lebih ketat.

“Sebagai contoh, projek PFA akan diwujudkan di Tongod, Sabah dengan kos keseluruhan RM26 juta. Kemudahan itu akan dilengkapi infrastruktur bagi memastikan penternakan lebih bersepadu, mampan dan selamat daripada penyakit,” jelasnya.

Tambah beliau, sesi libat urus bersama penternak, pembantai serta pengimport juga akan diteruskan supaya cabaran industri ternakan dan kawalan penyakit dapat ditangani secara menyeluruh.

Untuk rekod, kadar sara diri (SSR) daging babi negara pada tahun 2024 berada pada paras 67.8 peratus.

Sumber: TVS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal