Dua Wajah XIOKK Entertainment Serlah Pesona di AIM ke-24

KOTA KINABALU – Sidang media rasmi bagi Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 telah diadakan dengan penuh meriah pada 14 Ogos 2025 (Khamis), bertempat di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Tepat jam 2 petang itu, suasana dewan dipenuhi dengan semangat dan keterujaan apabila para artis baharu yang sedang mencipta nama tampil meraikan pencalonan mereka dalam anugerah berprestij ini.

Antara yang mencuri tumpuan adalah dua bintang berbakat dari XIOKK Entertainment, Ryenald Guntabid dan Elica Paujin. Kedua-dua calon ini merupakan calon-calon pilihan dalam kategori masing-masing untuk AIM kali ini.

Dari bumi Sabah, Ryenald Guntabid, mencatat sejarah peribadi dengan pencalonan pertamanya, dalam kategori Artis Baru Terbaik menerusi lagunya “Lumangad Oku Dika.” Karya ini bukan sahaja menandakan kemunculan sulungnya dalam arena muzik     profesional, malah memperkenalkan suara segar dari Sabah kepada seluruh Malaysia. Bukan sahaja itu, Beliau juga tercalon dalam kategori Vokal Lelaki Terbaik bersama calon lain Akim Ahmad, Amir Masdi, Hafiz Suip dan Hazama.

Manakala, Elica Paujin, yang turut berasal dari Sabah, memperkukuh kedudukannya dalam industri menerusi pencalonan bagi kategori Lagu Etnik Terbaik dengan karya yang berjudul “Oh Huminodun.” Lagu yang kaya dengan unsur budaya ini menyerlahkan keunikan warisan muzik tradisional yang dibawanya dengan penuh jiwa dan identiti.

Kejayaan kedua-dua calon ini membuktikan kesungguhan XIOKK Entertainment dalam memperjuangkan bakat tempatan serta mengangkat muzik Malaysia ke persada yang lebih tinggi.

Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 bakal berlangsung pada Sabtu, 13 September 2025, bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang. Acara ini dijangka menjadi majlis gemilang para penggiat seni tanah air, meraikan karya-karya terbaik menerusi persembahan hebat dan penghargaan yang penuh prestij.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal