Festival Anak Borneo 2026 satukan mahasiswa, angkat warisan budaya Borneo di Semenanjung

Gambar Kehadiran FAB

BANGI: 18 Jun 2026 – Kira-kira 500 pengunjung dari pelbagai latar belakang memeriahkan Festival Anak Borneo (FAB) 2026 yang berlangsung di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 8 Jun lalu, dalam usaha mempromosikan dan memartabatkan budaya masyarakat Sabah dan Sarawak di Semenanjung Malaysia.

Program anjuran Persatuan Mahasiswa-mahasiswi Sabah Universiti Kebangsaan Malaysia (PERMIS) itu menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan budaya Borneo termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan Mr. dan Miss Borneo, pertandingan nyanyian, pameran warisan, jualan makanan tradisional dan persembahan artis jemputan.

Ketua Program Festival Anak Borneo 2026, Syasya Afiqah Binti Asmawie, berkata penganjuran festival itu lahir dari keperluan untuk menyediakan ruang kepada anak-anak Sabah yang berada di perantauan.

“Ramai anak Sabah yang menuntut di Semenanjung tidak berpeluang pulang untuk menyambut Kaamatan bersama keluarga. Jadi, melalui festival ini kami cuba membawa suasana sambutan itu ke sini supaya mereka masih dapat merasai kemeriahan, budaya dan semangat kebersamaan yang menjadi identiti masyarakat Sabah,” katanya kepada TV Sabah.

Gambar Persembahan Kebudayaan FAB
Persembahan kebudayaan yang dipertontonkan

Menurut beliau, festival berkenaan bukan hanya menjadi medan menghimpunkan komuniti anak Borneo di perantauan semata.

“Program ini turut membuka peluang kepada warga UKM dan masyarakat di Semenanjung untuk mengenali dengan lebih dekat adat resam, seni budaya dan tradisi masyarakat Borneo. Pada masa sama, ia membantu memperkukuhkan perpaduan dan menggalakkan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya di negara ini,” jelasnya.

Antara tarikan utama festival ialah persembahan artis Sabah seperti Alya Mardien dan Eylia Guntabid, selain penyertaan peserta Unduk Ngadau dan Randawi Tavantang Kaamatan yang berjaya menghidupkan suasana sepanjang program berlangsung.

Gambar Persembahan Eylia Guntabid
Persembahan yang menghiburkan daripada Eylia Guntabid

“Festival seperti ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi menjadi platform untuk memastikan warisan budaya terus dihargai dan diwariskan kepada generasi muda. Ia juga mengukuhkan hubungan dalam kalangan komuniti anak Borneo yang berada di perantauan,” katanya.

Beliau berharap festival itu dapat diperluaskan pada masa hadapan agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pihak.

“Kami berharap Festival Anak Borneo dapat diteruskan dengan skala yang lebih besar dan impak yang lebih luas supaya semakin ramai masyarakat dapat mengenali, memahami dan menghargai keindahan budaya Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Festival tersebut turut menjadi wadah memperkukuh semangat perpaduan dan persefahaman antara masyarakat berbilang kaum melalui penghayatan terhadap warisan budaya yang kaya dengan nilai dan identiti tersendiri. Kejayaan penganjurannya membuktikan budaya Sabah dan Sarawak terus relevan dalam membentuk masyarakat yang menghargai kepelbagaian dan keharmonian negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal