Siasatan Sahkan Tiada Unsur Penderaan Dalam Kematian Syamsul Haris

KUALA LUMPUR: 13 Ogos 2025 – Jawatankuasa Siasatan mengesahkan tiada unsur penderaan dalam kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor, pada 28 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata siasatan menyeluruh melibatkan empat kementerian iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Keterangan lebih 30 saksi, termasuk jurulatih dan peserta, mengesahkan semua aktiviti latihan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tiada penderaan dilaporkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia, di sini, hari ini.

Hasil bedah siasat di Hospital Kota Tinggi, yang turut dihadiri petugas perubatan tentera, mendapati semua bantuan awal telah diberikan mengikut SOP. Laporan hospital juga mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad mangsa, sejajar dengan dapatan siasatan polis.

“Punca kematian hanya akan diketahui selepas laporan penuh dikeluarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan,” jelasnya.

Mohamed Khaled menegaskan kes ini tidak wajar dibandingkan dengan insiden kematian seorang pelajar di Sabah, namun pihaknya bersedia bekerjasama sepenuhnya sekiranya wujud bukti penderaan atau unsur jenayah.

Syamsul Haris, 22, penuntut Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM dan anak sulung daripada tiga beradik, meninggal dunia ketika menjalani latihan Inokulasi Tempur sehari selepas memulakan sesi pada 27 Julai. Latihan PALAPES itu dijadualkan berakhir pada 2 Ogos.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal