PRN Sabah: Warisan Sahkan Bertanding Semua 73 Kerusi DUN

SEMPORNA: 2 Ogos 2025 – Parti Warisan (WARISAN) mengesahkan akan bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung tahun ini.

Keputusan tersebut menandakan kesungguhan parti itu untuk bergerak secara solo tanpa bergabung dengan mana-mana parti politik lain. Langkah ini dijangka mencetuskan persaingan sengit melibatkan WARISAN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) serta beberapa parti tempatan lain.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan keyakinan terhadap kemampuan partinya untuk memberi saingan di semua kerusi DUN berdasarkan penilaian teliti terhadap calon-calon yang berpotensi menang. Beliau turut menegaskan bahawa semua persiapan telah dilakukan dan kini hanya menunggu pembubaran DUN oleh Ketua Menteri Sabah serta pengumuman tarikh rasmi PRN oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, WARISAN telah mengenal pasti calon-calon berdasarkan tiga kriteria utama iaitu kebolehmenangan, kesetiaan kepada parti, dan keupayaan untuk berkhidmat kepada rakyat secara berterusan.

Beliau menekankan bahawa calon yang dipilih mesti mempunyai integriti dan tidak mudah melompat parti selepas memenangi kerusi. Tambahnya, WARISAN tidak mahu calon yang hanya aktif ketika musim pilihan raya, namun mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat selepas dipilih sebagai wakil rakyat.

Dalam ucapannya semasa Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Imam Laggu, Jalan Kunak-Semporna, beliau turut menegaskan bahawa keupayaan calon memberi perkhidmatan jangka panjang kepada rakyat adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Sebelum ini, pada Mei lalu, WARISAN telah menyatakan kesediaan bertanding di semua kerusi DUN sekiranya berasakan peluang kemenangan itu wujud. Parti itu turut mengakui beroperasi dengan sumber kewangan yang terhad, namun mengharapkan rakyat Sabah tidak hanya menilai parti berdasarkan kekuatan dana semata-mata.

Shafie menyeru rakyat untuk membuat pilihan berasaskan prinsip perjuangan dan keupayaan wakil rakyat untuk membela kepentingan rakyat, bukan semata-mata tawaran wang atau projek sementara.

Sumber: Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal