LAHAD DATU: 10 Julai 2025 – Polis berjaya menumpaskan beberapa cubaan pengedaran dan penyalahgunaan dadah jenis syabu dalam siri operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, semalam.
Operasi yang dijalankan menerusi Op Tapis di beberapa lokasi sekitar bandar Lahad Datu telah membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 45 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah.
Dalam kes pertama sekitar jam 10.40 pagi, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan berhampiran Jalan Pantai, Lahad Datu. Pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 0.14 gram.
Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, selain mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes kedua pula berlaku pada jam 3.45 petang di Kampung Puyut, apabila dua lelaki tempatan berusia 34 dan 32 tahun ditahan ketika berjalan dalam keadaan mencurigakan.
Salah seorang daripada mereka memiliki dua paket syabu seberat 0.28 gram bersama dua gulung kertas aluminium, dan yang seorang lagi disahkan positif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Sementara itu, dalam kes ketiga sekitar jam 4.30 petang di Jalan Kastam Baru, seorang lelaki berusia 40 tahun turut diberkas selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kotak rokok berisi 27 paket plastik lutsinar pelbagai saiz, dipercayai mengandungi syabu dengan anggaran berat 5.51 gram.
Suspek juga didapati positif dadah dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut, dan pihak polis menegaskan komitmen mereka untuk terus menggempur aktiviti penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Sumber: Kenyataan Media Polis Daerah Lahad Datu