Kerajaan Negeri Sedia Pertimbang Naik Taraf Matunggong Jadi Daerah Penuh

Kota Marudu, 6 Julai 2025 – Kerajaan Negeri Sabah bersedia mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf Pekan Kecil Matunggong kepada sebuah daerah penuh, tertakluk kepada hasil kajian kelayakan yang sedang dijalankan oleh pihak berwajib.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata cadangan itu selaras dengan aspirasi penduduk setempat dan kerajaan akan meneliti pelbagai aspek termasuk keperluan serta kesediaan infrastruktur sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Banyak usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri. Kita ada pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada pembangunan menyeluruh dan pembelaan nasib rakyat,” katanya semasa menghadiri satu program di Matunggong.

Beliau turut menyeru agar rakyat terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Negeri pimpinan GRS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, demi menjamin kelangsungan dasar dan inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan.

Menurut beliau, kestabilan politik dan sokongan berterusan daripada rakyat amat penting bagi memastikan semua program kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Hajiji turut memuji usaha Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) kerana berjaya menganjurkan Festival Kebudayaan Rungus secara berterusan, sebagai platform untuk mempromosi warisan dan budaya suku kaum Rungus kepada masyarakat umum.

Sumber, Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal