Isu Ambalat Tidak Wajar Dipolitikkan – Bung

Kota Kinabalu, 5 Julai 2025 – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu Ambalat sebagai modal politik, terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.

Beliau menegaskan bahawa isu kedaulatan Sabah harus ditangani dengan penuh tanggungjawab dan tidak dimanipulasi untuk meraih sokongan politik jangka pendek.

“UMNO Sabah akan memastikan suara negeri ini dibawa secara formal dan konstruktif melalui Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya kepentingan rakyat Sabah, sebagai jiran terdekat kepada kawasan Ambalat, terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bung turut menegaskan bahawa isu pertikaian sempadan maritim di kawasan Laut Sulawesi tidak wajar dijadikan bahan untuk menaikkan sentimen politik tempatan yang hanya akan mencetuskan polemik tanpa sebarang penyelesaian konkrit.

Dalam kenyataan sama, beliau menyuarakan bahawa Sabah perlu diberi ruang untuk terlibat secara langsung dalam sebarang rundingan membabitkan pertikaian kawasan Ambalat.

“Saya ingin menegaskan kepada kerajaan Persekutuan bahawa Rundingan Tahunan Malaysia – Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini seharusnya membuka ruang kepada kerajaan negeri Sabah untuk turut serta secara langsung dalam rundingan strategik tersebut,” katanya.

Beliau menyifatkan pendekatan diplomasi sebagai jalan paling rasional dalam menangani pertindihan tuntutan maritim dan menyeru semua pihak untuk kekal bersatu dalam mempertahankan kedaulatan negara sambil memastikan rakyat Sabah memperoleh manfaat sewajarnya hasil daripada sebarang keputusan rundingan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa isu Ambalat, blok lautan di Laut Sulawesi yang menjadi pertikaian wilayah antara Malaysia dan Indonesia, dijangka menjadi salah satu agenda penting dalam rundingan dua hala yang akan berlangsung di Jakarta pada 29 Julai ini, melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi kerajaan Perpaduan.

Sumber, Sayang Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal