Pemimpin Sabah mula melobi siapa layak jadi TPM
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak jika gabungan masing-masing memenangi pilihan raya umum ke-15 ini.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan presiden Pejuang dan pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) mengatasi ikrar kedua-dua pemimpin itu dengan mengatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri, termasuk pemimpin yang layak dari Sabah.
Dr Mahathir menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada mana-mana suku kaum di negara ini.
Mana-mana etnik yang layak boleh dilantik sebagai PM.
Sebelum ‘menuai’ jawatan tertinggi dalam kerajaan persekutuan itu, parti politik sama ada Barisan Nasional (BN), Parikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) mesti memenangi kerusi yang mencukupi untuk membolehkannya berarak ke Putrajaya.
BN, PN dan PH adalah pesaing utama dalam pilihan raya umum ke-15 yang akan diadakan pada 19 November ini.
Pakatan yang lebih kecil seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) jika digabung ada 56 ahli Parlimen dan boleh memainkan peranan sebagai ‘king maker jika tiada satu pun mana-mana gabungan utama memperoleh kerusi yang cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Jadi persoalannya ialah siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari Sabah?
Dr Mahathir berkata, hakikat bahawa Parti Warisan bertanding kerusi parlimen di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia merupakan satu petunjuk bahawa bekas Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal juga mungkin mengintai untuk mendapatkan jawatan tertinggi itu.
“Shafie mempunyai hak untuk menjadi Perdana Menteri seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi persoalannya masih bergantung kepada sama ada beliau boleh mendapat sokongan yang diperlukan atau tidak,” Dr Mahathir dipetik sebagai berkata baru-baru ini.
Sementara itu, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh mendakwa bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang ahli politik yang sangat layak untuk mengambil jawatan yang sudah begitu lama dinafikan daripada menjadi milikya sebagai Perdana Menteri.
Beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di negara ini.
Ketika berada di Sabah awal bulan ini, Anwar mengumumkan bahawa jika PH memperolehi kemenangan dengan memperolehi kerusi yang mencukupi, PH akan melantik ahli Parlimen sama ada dari Sabah atau Sarawak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Setakat ini sekurang-kurangnya ada dua pemimpin BN Sabah daripada Umno menyuarakan sokongan bahawa jika calon parti mereka menang, calon untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri mesti diperuntukkan untuk Sabah.
Pengerusi Umno dan BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, calon GRS-BN bagi Sepanggar Datuk Yaakub Khan boleh dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Beliau kini merupakan Menteri Kabinet dalam Kerajaan Negeri GRS BN Sabah.
Kelmarin, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman juga secara terbuka mengumumkan sokongan kepada calon GRS-BN dari Kota Belud iaitu Datuk Adul Rahman Dahlan untuk dijadikan Timbalan Perdana Menteri jika memenangi kerusi Kota Belud.
“Saya percaya Datuk Abdul Rahman Dahlan memenuhi kriteria untuk memegang jawatan penting dalam barisan Kerajaan Persekutuan dan orang yang sesuai untuk mewakili suara kolektif rakyat Sabah,” kata Musa.
Rahman, ahli parlimen selama dua penggal adalah pemimpin berpengalaman yang sebelum ini menerajui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi.
Kini sama ada Sabah mendapat jawatan tertinggi itu atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan pilihan raya umum 19 November.
Pencalonan telah ditutup, semua calon telah diketahui.
Kini kuasa ada ditangan rakyat melalui peti undi untuk menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan Persekutuan Malaysia untuk lima tahun akan datang.
– TV Sabah News
0 Comments