Tuesday, December 24, 2024

Tiada istilah ‘bendera putih sebelum bertarung’

Adam Shah bercakap ketika ditemui pemberita di Semporna.

Nilam Raon


SEMPORNA: Tiada istilah ‘mengibar bendera putih sebelum bertarung’ itu perkataan yang menggambarkan semangat juang jentera parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Semporna dan Bugaya.

Pengarah Strategik Jentera Pilihan Raya GRS Semporna Adam Shah Mohammad berkata, walau kedua-dua kerusi itu dianggap kubu kuat Parti Warisan (Warisan) namun itu bukan alasan untuk mereka menyerah semudah itu.

Katanya, mereka akan terus mengatur strategi dan maju dengan pecutan ‘gear’ di tahap paling laju untuk menghadapi saingan sengit bagi kedua-dua kerusi itu.

“Untuk merampas kedua-dua kerusi itu kerjasama yang padu daripada GRS dan BN amat diperlukan dengan semua jentera di semua peringkat dikerah membantu kemenangan calon di sini.

“Semua tahu bahawa ini adalah kerusi panas terutama apabila Presiden Parti Warisan (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) pun berada di Semporna. Namun kita percaya sesiapa pun boleh menjadi pemenang,” katanya ketika ditemui.

Katanya, semua jentera akan menyantuni pengundi Undi 18 yang dilihat sebagai penentu kemenangan calon dan parti.

“Bukan mudah untuk mendekati ‘first voters’ ini. Semua parti mencari kaedah bersesuaian menarik pengundi ini. Kita harap mereka akan turun mengundi dan memilih kerajaan yang boleh membawa kemajuan,” katanya lagi.

Adam Shah berkata, melalui data bagi kerusi Semporna ada hampir 20,000 pengundi baharu manakala untuk kerusi Bugaya ada 8,000 pengundi Undi 18.

Semporna akan menyaksikan pertarungan dua kerusi iaitu kerusi Parlimen Semporna dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights