KOTA KINABALU: Lebih 150,000 pengguna di pantai timur Sabah terjejas teruk selepas terpaksa bergelap dan menanggung perbelanjaan tambahan susulan menara penghantaran elektrik tumbang di Ranau, kelmarin.
Gangguan besar yang dijangka mengambil masa sehingga enam hari untuk dipulihkan itu turut menyebabkan peniaga rugi.
Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, berkata krisis itu menuntut kerajaan Sabah memberi jawapan dan menjalankan siasatan teknikal bebas terhadap kegagalan infrastruktur kritikal terbabit.
“Sabah Electricity menyasarkan enam hari untuk memulihkan sepenuhnya sistem grid. Dalam tempoh ini, peniaga rugi, perkhidmatan asas terganggu dan keluarga terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, insiden itu berpunca dari dua talian penghantaran 275kV terputus sehingga kehilangan bekalan 295 megawatt (MW), mengulangi kejadian September tahun lalu.
Beliau mempersoalkan keberkesanan langkah pencegahan awal kerana Sabah Electricity mengakui hakisan tebing Sungai Liwagu dikesan sejak Januari dan kerja pengukuhan dilaksanakan pada Mac.
“Hujan lebat mungkin pencetus, namun risikonya diketahui hampir 10 bulan lalu. Adakah langkah diambil mencukupi untuk melindungi infrastruktur kritikal ini?
“Mengapa pantai timur Sabah masih bergantung pada satu laluan penghantaran elektrik sedangkan risikonya diketahui sejak kejadian tahun lalu?” soalnya.
Mohd Shafie meminta kerajaan mendedahkan jumlah sebenar tenaga dibekalkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bernilai RM645 juta di Lahad Datu sepanjang krisis.
Beliau juga menuntut penjelasan status terkini projek Southern Link yang menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan RM765 juta menerusi Belanjawan 2026 untuk menyediakan laluan penghantaran alternatif di wilayah itu.
Tegas beliau, kerana kuasa kawal selia bekalan elektrik kini di bawah Kerajaan Negeri, pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memikul tanggungjawab penuh, bukan sekadar memberi penjelasan setiap kali krisis berulang.
“Saya menggesa siasatan teknikal bebas dijalankan, hasilnya didedahkan kepada umum dan pelan tindakan dengan tarikh akhir jelas dikemukakan untuk memperkukuh sistem bekalan elektrik Sabah dan mencegah kejadian serupa,” katanya.
Beliau menghargai usaha petugas teknikal memulihkan bekalan, namun mengingatkan kecekapan menangani krisis tidak boleh menggantikan tanggungjawab pencegahan awal agar kegagalan infrastruktur tidak terus menjadi lumrah kehidupan rakyat Sabah.
