Tiga rakyat Sabah antara 31 ditahan di Pontianak, diperdaya tawaran kerja RM20,000

watermarked img 5872238449235216072

oleh David E.

PONTIANAK: Tiga rakyat Sabah antara 30 warga Malaysia yang ditahan di Pontianak, Indonesia, sejak 8 September lalu. Kesemua mereka dipercayai mangsa tawaran kerja palsu yang menjanjikan gaji lumayan sehingga RM20,000.

Ketiga-tiga individu dari Sabah itu dikenal pasti melalui inisial RCKK (lelaki, 33 tahun), SBS (wanita, 33 tahun) dan RYH (lelaki, 32 tahun).

Pengesahan berhubung status mereka diperoleh dari dokumen yang disahkan pihak Konsulat Malaysia di Pontianak.

Ketua LBH HWCI Kalimantan Barat, Hj. Eka Nurhayati Ishak, berkata kesemua 31 warga asing itu terdiri dari 30 warga Malaysia dan seorang warga Taiwan. Mereka ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Pontianak pada 8 September.

Menurut Eka, pihaknya menyoroti proses pengendalian kes yang dinilai agak perlahan. Selepas lebih dua bulan ditahan, kepastian status perundangan dan tahapan siasatan masih menimbulkan tanda tanya.

“Mereka datang ke sini kerana dijanjikan pekerjaan dengan gaji RM20,000. Tetapi apabila tiba, mereka tidak mendapat pekerjaan seperti dijanjikan. Sebaliknya mereka dikurung dan diarahkan melakukan kerja berkaitan scamming,” katanya.

Eka berkata pengendalian undang-undang kesemua 31 individu terbabit terbahagi kepada dua kes berbeza di bawah dua institusi penguatkuasaan.

“Pertama, kes pelanggaran imigresen membabitkan kesalahan tinggal lebih masa terhadap tiga individu yang tempoh sah visanya tamat. Kedua, kes yang disiasat polis berkaitan dakwaan penipuan dalam talian,” jelasnya.

Pihak pembelaan turut mendakwa terdapat percanggahan maklumat berhubung tempoh tahanan. Anak guam sebelum ini dimaklumkan tahanan tamat pada 25 November 2026, namun pihak pembelaan mendapat maklumat bahawa proses siasatan masih di peringkat awal.

“Perbezaan maklumat ini menimbulkan persoalan mengenai kepastian undang-undang dan asas lanjutan tempoh tahanan,” katanya.

LBH HWCI yang kini memegang mandat penuh sebagai peguam bela untuk kesemua 31 warga asing itu mendesak pihak berkuasa Indonesia mempercepatkan kejelasan status hukum mereka.

Pihaknya juga meminta penyiasat menilai kedudukan anak guam bukan semata-mata sebagai suspek jenayah siber, tetapi sebagai mangsa eksploitasi yang diperdaya sindiket tawaran kerja palsu. Pihak pembelaan komited memastikan hak asasi, pemulangan barangan peribadi dan akses komunikasi konsular bagi warga Malaysia, termasuk tiga rakyat Sabah itu, sentiasa terjamin.

– TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal