PHP13.6 juta syabu dirampas, warga Malaysia antara tiga suspek maut di Filipina

IMG 4263

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TAWI-TAWI: Seorang warga Malaysia antara tiga individu yang maut dalam insiden berbalas tembakan di Bongao, Tawi-Tawi, Filipina, pada 15 November lalu. Kejadian berlaku ketika operasi pembelian dadah secara penyamaran di Barangay Tubig Mampallam.

Operasi bersepadu Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) Wilayah Bangsamoro (BARMM), Polis Negara Filipina (PNP) dan Kor Marin Filipina itu turut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek.

Pasukan penguatkuasa merampas kira-kira dua kilogram dadah disyaki syabu bernilai PHP13.6 juta, wang urus niaga penyamaran, sepucuk pistol 9mm, dua kad pengenalan dan sebuah bot kayu bermotor.

Menurut kenyataan PDEA BARMM, operasi kira-kira jam 4.50 petang itu menyaksikan mereka menemui dua beg teh Cina mengandungi bungkusan plastik berisi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 2,000 gram.

Insiden berbalas tembakan tercetus selepas urus niaga dadah selesai. Suspek menyedari kehadiran pasukan keselamatan lalu melepaskan tembakan dan cuba melarikan diri menggunakan bot berkenaan.

Keempat-empat suspek mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Dua suspek dikenali sebagai alias Ungod, warga Malaysia, dan alias Amil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Alias Alma meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, manakala alias Nurhaipa dibawa ke hospital untuk rawatan sebelum ditahan.

Operasi itu membabitkan PDEA Pejabat Wilayah Tawi-Tawi, Batalion Senapang Marin Ke-4, Pejabat Polis Wilayah Tawi-Tawi, Balai Polis Perbandaran Bongao, Unit Risikan dan Siasatan Polis Tawi-Tawi.

PDEA BARMM memaklumkan usaha memperketat kawalan sempadan untuk membanteras penyeludupan dadah akan terus dipergiat menerusi perkongsian maklumat risikan, penyelarasan operasi dan kerjasama antara agensi penguat kuasa.

Kes berkenaan membabitkan pelanggaran Seksyen 5 Akta Republik 9165 berkaitan penjualan dadah berbahaya dan Akta Republik 10591 berhubung kawal selia senjata api dan peluru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal