Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
BANGKOK: Penyanyi Malaysia, Aina Abdul, menamatkan saingan di tempat keempat Eurovision Song Contest Asia 2026 menerusi lagu Bluest Sky dengan 152 undian.
Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Aina sebagai penyanyi yang mampu membawa karya muzik Malaysia ke pentas antarabangsa, sekali gus menarik perhatian peminat luar negara.
Pertandingan yang berlangsung di Thailand semalam menyaksikan wakil Filipina, Carmelle, muncul juara menerusi lagu Sobra-Sobra. Tempat kedua diraih wakil tuan rumah, Mang dan Daou, menerusi lagu Aroma, manakala wakil Vietnam, Toc Tien, menduduki tempat ketiga dengan lagu Em Tien.
Bluest Sky sepenuhnya karya Aina, dengan susunan muzik oleh Mac Chew. Lagu berkonsepkan power ballad itu menggabungkan elemen muzik moden dengan sentuhan Nusantara. Liriknya dalam bahasa Inggeris, dengan sisipan lirik puitis bahasa Melayu.
Karya itu turut mendapat perhatian peminat muzik antarabangsa sejak kempen pertandingan bermula, terutama selepas pelancaran muzik video rasminya pada pertengahan Oktober lalu.
Penyanyi terkenal Australia, Delta Goodrem, juga turut menyanyikan semula lagu berkenaan menerusi projek jelajah Eurovision Asia 2026.
Sebelum dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan itu, Aina mengukuhkan reputasinya menerusi Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40). Menerusi lagu Kamu, dia memenangi anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, mula mencipta nama menerusi pertandingan Mentor Legend musim 2014/2015 apabila muncul naib juara di bawah bimbingan penyanyi Ella.
Dia juga pernah meraih gelaran Juara Keseluruhan AJL ke-37 menerusi lagu Terus Hidup. Pada AJL ke-35, Aina meraih naib juara menerusi lagu Semalam.
Aina juga pernah memenangi kategori Vocalist of the World pada World Championships of Performing Arts 2014 di Los Angeles.
