29 PATI ditahan, JIM tegas mahu kehadiran PATI dimaklumkan

IMG 5571

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi bersepadu di enam lokasi sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

Operasi yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 pagi pada 11 hingga 12 November itu melibatkan 26 pegawai penguat kuasa Ibu Pejabat JIM Kota Kinabalu yang memeriksa seramai 54 individu.

Lokasi yang disasarkan merangkumi premis perniagaan, bengkel kenderaan, kedai makan, rumah tumpangan dan penempatan setinggan.

Menerusi jumlah keseluruhan yang ditahan, seramai 13 lelaki dan 16 perempuan diberkas membabitkan 22 warga Filipina, empat warga Indonesia, dua warga China dan seorang warga Pakistan.

Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.

Tindakan tegas turut diambil kerana empat majikan dikenal pasti dan tiga Borang IMM.29 (Saman Kepada Saksi) dikeluarkan untuk membantu siasatan. Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

JIM Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi dan menggaji PATI.

Orang ramai digesa terus memaklumkan kehadiran PATI di kawasan masing-masing untuk membantu usaha penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan.

Sumber: JIM Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal