Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAWAU: 30 Oktober 2026 — Kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan perkampungan di sini terus dikesan selepas tiga individu ditahan kerana disyaki memiliki syabu dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, kelmarin.
Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau hasil tindakan pengesanan terhadap individu yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang berada di dalam sebuah kereta Perodua Alza berwarna putih di tepi jalan.
Pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penemuan dua paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu dengan berat keseluruhan kira-kira 0.30 gram.
Dalam serbuan kedua di kawasan sama, polis menahan seorang lelaki bukan warga tempatan yang dilihat berlegar dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 0.26 gram pada suspek.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan turut mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan penguatkuasaan untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah itu.
Beliau turut menegaskan bahawa risikan dan operasi dilaksanakan secara berterusan untuk mengenal pasti dan mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam rangkaian bekalan dadah.
Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi dadah dan menyalurkan maklumat ke pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah di kawasan masing-masing.
Sumber: Polis Daerah Tawau

