Peruntukan RM18.7 bilion untuk Sabah perlu dinilai dari segi keberkesanan – Johari

WhatsApp Image 2026 10 23 at 10.17.27 AM

Oleh David E.

KOTA KINABALU: 23 Oktober 2026 – Peruntukan RM18.7 bilion untuk Sabah melalui Belanjawan Persekutuan 2027 tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah keseluruhan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dari segi keberkesanan perbelanjaan dan manfaat sebenar rakyat.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Johari Suhaimin, berkata peruntukan berkenaan turut merangkumi perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan, termasuk gaji penjawat awam dan kos operasi kementerian dan jabatan yang berkhidmat di Sabah.

Beliau berkata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, sebelum ini menjelaskan peruntukan berkenaan bukan sahaja meliputi projek pembangunan, malah turut digunakan untuk membiayai perbelanjaan pengurusan perkhidmatan awam Persekutuan, khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan, selain pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Sabah.

“Jumlah RM18.7 bilion itu bukan keseluruhannya dana yang disalurkan secara langsung kepada Kerajaan Negeri atau peruntukan khusus bagi projek pembangunan baharu,” kata Johari dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkara lebih penting ialah memastikan setiap peruntukan dapat diterjemahkan kepada peningkatan mutu perkhidmatan dan penyelesaian masalah asas yang masih membelenggu rakyat Sabah.

“Masalah bekalan air, elektrik, jalan raya dan kemudahan asas di kawasan luar bandar masih memerlukan perhatian serius, walaupun peruntukan pembangunan disediakan setiap tahun,” katanya.

Johari berkata faktor geografi, keluasan wilayah dan kos pembinaan infrastruktur yang tinggi turut memerlukan pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan sebenar Sabah.

Bagaimanapun, katanya cabaran tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan terhadap kelewatan pelaksanaan projek atau kelemahan penyampaian perkhidmatan.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, termasuk penetapan sasaran projek, pemantauan kemajuan pelaksanaan dan ketelusan penggunaan peruntukan.

“Rakyat perlu diberikan penjelasan yang jelas mengenai tujuan sesuatu peruntukan dan memahami sejauh mana pelaksanaan projek berkenaan dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari menegaskan isu pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari Sabah tidak boleh disamakan dengan peruntukan tahunan Belanjawan Persekutuan.

Katanya pemberian khas itu mempunyai asas perlembagaan tersendiri, khususnya di bawah Perkara 112C, 112D dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, penyelesaian isu berkenaan penting untuk memberikan kepastian fiskal kepada Kerajaan Negeri supaya perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan mampan.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap peruntukan dibelanjakan secara telus, cekap dan memberi manfaat sebenar rakyat.

“Kejayaan belanjawan perlu dinilai bukan sekadar melalui jumlah dana yang diumumkan, tetapi berdasarkan hasil pembangunan dan peningkatan kualiti hidup rakyat Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal