Akui Bersalah Gangguan Seksual, Pengarah Hospital KK Masih Berkhidmat Setahun Kemudian

Dr Istefab Koh ADUN Chin Tek Ming 2

KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Seorang pengarah hospital ternama di Kota Kinabalu bukan sahaja didakwa melakukan gangguan seksual dan buli terhadap rakan sekerjanya, malah dikatakan telah mengaku bersalah, mengaku “hilaf”, dan menyatakan hasrat untuk bersara awal dengan memohon maaf secara terbuka.

Namun, setahun selepas kejadian dilaporkan berlaku, individu yang sama masih lagi berkhidmat di hospital tersebut, mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming, menggesa tindakan tegas serta-merta dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Menurut maklumat yang diperoleh dari pihak polis, kejadian yang didakwa sebagai gangguan seksual dan buli di tempat kerja ini dilaporkan berlaku pada bulan Oktober tahun lalu. Dakwaan tersebut melibatkan seorang pengarah hospital yang didakwa melakukan kelakuan tidak wajar terhadap rakan sekerjanya di sebuah hospital ternama di kawasan Kota Kinabalu.

Laporan polis dibuat pada Januari 2026

Susulan kejadian tersebut, pihak mangsa tampil membuat laporan rasmi di balai polis berhampiran pada Januari tahun ini. Perkara itu disahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, yang memaklumkan bahawa siasatan awal telah pun dibuka sejurus laporan diterima, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berhubung penghinaan dengan niat menggugah kehormatan.

Siasatan dalaman JKNS mendapati pengakuan bersalah

Di peringkat pentadbiran, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan KKM telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menjalankan siasatan dalaman secara terperinci. Sumber dari dokumen yang didedahkan oleh ADUN Kepayan menunjukkan bahawa dalam siasatan tersebut, pengarah berkenaan didakwa telah mengakui kesalahannya, menyatakan tindakannya sebagai “hilaf”, dan menyatakan hasrat untuk bersara awal secara sukarela dan memohon maaf secara terbuka kepada pegawai yang mengadu.

ADUN Kepayan mendedahkan kontroversi pada 23 Julai 2026

Hari ini, Chin Tek Ming bersama Penasihat Perbatasan Parti Warisan, Dr. Istefan Koh, mendedahkan dokumen-dokumen termasuk laporan polis dan hasil siasatan dalaman kepada umum melalui satu rakaman video yang tular.

“Kami menerima aduan mengenai tingkah laku pengarah tersebut. Kami juga dipahamkan bahawa beliau mengaku kesalahan dan menyatakan hasrat untuk bersara awal. Namun, pertanyaan saya adalah bilakah doktor pengarah tersebut akan bersara? Apakah tindakan yang sudah dibuat di tahun 2025, bulan 7, dan jika beliau masih berkhidmat di hospital selama setahun yang lalu dengan kes ini di tangannya, sedangkan dia mengaku dengan kesalahannya, saya rasa ini sudah tiba masanya untuk JKNS ambil tindakan yang tegas,” tegas Chin Tek Ming dalam sidang akhbarnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa pendedahan ini bukanlah kali pertama melibatkan gangguan seksual atau buli dalam kalangan hospital, dan terdapat peningkatan trend peletakan jawatan dalam kalangan pegawai perubatan dan isu kesihatan mental yang membimbangkan.

Polis sahkan siasatan masih berjalan

Menjawab pendedahan tersebut, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan bahawa siasatan polis masih diteruskan untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Kes ini hanya mula tular di media sosial semalam, namun siasatan polis sudah pun dijalankan sejak Januari lalu. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam sidang media hari ini, sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi.

JKNS: Siasatan dalaman selesai, tindakan susulan sedang dilaksanakan

JKNS dalam satu kenyataan rasmi hari ini memaklumkan bahawa siasatan terperinci oleh jawatankuasa khas yang dilantik KKM telah pun selesai dijalankan.

“Hasil siasatan telah diperolehi dan syor-syor tindakan susulan sedang dilaksanakan mengikut prosedur dan perundangan semasa yang berkuat kuasa. JKNS memandang serius dakwaan ini dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya perbuatan serangan seksual, gangguan dan buli di tempat kerja,” menurut kenyataan tersebut.

Kerajaan Sabah tegaskan tidak akan berkompromi

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memandang serius perkara ini dan menyelaraskan tindakan bersama KKM.

“Saya belum dimaklumkan secara terperinci tetapi sudah tentu apa yang perlu dilakukan telah dilaksanakan. Di peringkat kementerian, kita memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang dakwaan gangguan seksual membabitkan penjawat awam,” katanya di Bangunan DUN Sabah hari ini.

Isu dibangkitkan di persidangan DUN

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, Nurulalsah Hassan Alban (Warisan), ketika membahaskan Rang Undang-Undang di DUN Sabah hari ini turut mengangkat isu tersebut, menyifatkan dakwaan gangguan seksual itu sebagai ancaman psikologi di tempat kerja yang berpunca dari kegagalan sistemik.

“Seorang pemimpin hospital dengan kelakuan sedemikian tidak boleh diharapkan. Jika kes sebegini tidak dikendalikan dengan baik, negara mungkin kehilangan lebih ramai doktor,” ingatnya.

Seruan keadilan untuk petugas kesihatan

Mengakhiri kenyataannya, Chin Tek Ming menggesa supaya keadilan ditegakkan untuk petugas kesihatan yang sudah terbeban dengan situasi semasa, sambil menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil kerana perkara ini sudah menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengamal perubatan dan orang ramai.

“Saya percaya keadilan sentiasa diperlukan untuk petugas kesihatan. Tindakan tegas harus diambil,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal