Oleh:Roodwill
KUALA LUMPUR: 7 Oktober 2026 — Tuntutan perwakilan sekurang-kurangnya 35 peratus kerusi Dewan Rakyat untuk blok Borneo dibawa ke perbincangan awal antara Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata satu jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dicadang untuk ditubuhkan bagi memperincikan kaedah pelaksanaan tuntutan tersebut.
Beliau berkata, cadangan awal menetapkan jawatankuasa khas itu dipengerusikan bersama beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman.
“Saya telah mengadakan perbincangan awal dengan SPR untuk mendapat pelbagai input dan apa tindakan yang perlu dibuat selepas ini. Cuma ini baru perbincangan awal,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) mengenai tuntutan perwakilan sekurang-kurangnya 35 peratus kerusi Dewan Rakyat untuk blok Borneo di Parlimen, Isnin lalu.
Mustapha berkata, tuntutan itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat MTPMA63, Jawatankuasa Teknikal dan Mesyuarat Jemaah Menteri.
Tambahnya, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) memulakan libat urus rasmi dengan SPR pada 22 September lalu untuk menilai proses perundangan yang teratur.

