RM10 juta untuk naik taraf pengairan Poguokon

9d1a21ce 6f12 4a8d 8d43 f7dc019227d6.jpg

oleh David E.

TENOM: 3 Okt 2026 – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta untuk menaik taraf sistem pengairan di Poguokon-Lagud Seberang di sini, langkah yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 penanam padi.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata projek itu diperlukan berikutan masalah pemendapan, kerosakan pam dan sistem pengairan yang menyebabkan bekalan air tidak mencukupi untuk mengairi kira-kira 300 hektar sawah.

Kerajaan negeri baru-baru ini telah meluluskan permohonan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tersebut.

“Pelaksanaan projek ini kelak akan memberi keselesaan kepada lebih 100 penanam padi di Poguokon, Manining, Lagud Seberang dan Pansailon, termasuk kawasan sekitarnya,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia di Dewan Datuk Sanggau Jalang, hari ini.

Tambahnya, JPS turut menaik taraf pam air di Makakumpai yang sebelum ini tidak dapat ditanam padi lebih 10 tahun akibat kerosakan pam dan saluran air. Kerja pembaikan akan diteruskan walaupun berdepan kecurian wayar.

Di Kalang, sebuah empangan bernilai kira-kira RM250,000 telah siap untuk mengairi sawah padi. Di Melalap, tiga empangan air masing-masing bernilai RM200,000 diluluskan dan sedang dilaksanakan untuk kira-kira 250 ekar sawah di Kampung Langsat, Kampung Kasiai dan Kampung Ulu Sumbiling.

Kerajaan turut menyediakan RM7 juta untuk sistem kawalan saliran air di kawasan pekan dan RM2.5 juta untuk mencegah hakisan tanah di Pusat Kebudayaan Murut, Tenom.

Jamawi berkata pengagihan jentera pembajak, penanam dan penuai kepada petani akan diselesaikan pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) di Tenom, 23 hingga 25 Oktober. Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri pada 24 Oktober, jam 10 pagi.

“Kita mengalu-alukan semua masyarakat, petani, penternak, nelayan, penoreh getah dan sesiapa sahaja yang berminat dengan industri pertanian untuk datang beramai-ramai.

Mengenai Hari Sungai Sedunia, beliau berkata sungai bukan sahaja sumber makanan tetapi juga air minuman. Kebersihan dan kualitinya perlu dijaga penduduk kampung dan komuniti sekitarnya.

“Kalau sumber ini tercemar, keseluruhan alirannya akan tercemar dan memberikan air yang kurang bersih untuk dinikmati seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal