Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 28 September 2026 – Empat karya tempatan Sabah, tiga filem cereka dan sebuah filem pendek, akan menemui penonton di pawagam menerusi tayangan khas sepanjang Oktober ini, sebagai usaha mendapatkan ruang pasaran dan mengukuhkan industri perfileman negeri.
Keempat-empat produksi ialah Bobohizan Next Generation arahan Marc Abas (3 Oktober), Mr. Finance arahan Jade Morris (8 Oktober), Bas Malam arahan Shera dan Zura Anwar (17 Oktober) dan Giring arahan Marlin Malalin (29 Oktober). Rangkaian tayangan mengisi slot Oktober sebelum pawagam dijangka dibanjiri filem besar menjelang November dan Disember.
Dua produksi menerima dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), manakala Mr. Finance menggunakan pembiayaan sendiri. Bas Malam menampilkan pelakon berprofil nasional, mendapat sokongan pelaburan swasta menerusi program 10Star FC.
Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Chester Pang, menyifatkan perkembangan itu menggalakkan dan mampu menyuntik semangat kepada penggiat filem Sabah. Beliau berkata demikian selepas lawatan ke lokasi Beri Aku Waktu, karya sulung Dr. Zairul Anwar, di ASTiF, Universiti Malaysia Sabah.
Menurut Chester, sokongan penonton penting dalam memastikan filem penggiat Sabah berkembang dan mendapat perhatian pasaran.
“Mari kita ke panggung menonton filem-filem Sabah, khususnya Mr. Finance dan Giring yang akan ditayangkan lebih daripada 35 buah pawagam di seluruh negara. Sokongan penonton adalah penting kerana setiap tiket yang dibeli turut menjadi sebahagian daripada sokongan kepada industri dan penggiat filem Sabah,” katanya.
“Dengan adanya kerjasama dan sokongan FINAS, pihak pelabur termasuk pemain industri seperti 10Star Cinemas, industri perfileman Sabah masih mampu menghasilkan karya dan bergerak ke hadapan. Ini menunjukkan bakat dan kreativiti anak Sabah mempunyai potensi untuk dikembangkan lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata momentum itu dijangka diperkukuh menerusi portfolio Ekonomi Kreatif yang diwujudkan pada 1 Disember 2025 di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah. Setelah struktur, dasar dan hala tuju selesai dirangka, ia menjadi panduan penting membentuk ekosistem filem lebih tersusun.
“Sekiranya ekosistem ini diperkukuh secara berterusan, kita bukan sahaja dapat melahirkan lebih banyak filem Sabah, tetapi juga membuka peluang kepada bakat muda, mewujudkan pekerjaan selain membawa karya dan cerita Sabah ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

