KOTA KINABALU: 26 September 2026 — Beberapa lokasi di Kota Kinabalu sedang diteliti untuk pembinaan muzium negeri baharu Sabah yang telah diluluskan Kabinet negeri.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md Shamsureezal, berkata pemilihan lokasi perlu mengambil kira keperluan pemeliharaan artifak.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam Kabinet dan telah diluluskan. Kami sekarang akan mencari tempat yang terbaik.
“Untuk membina muzium, ia memerlukan kawasan yang baik dan kita kena berkenan dengan artifak yang ada.
“Artifak-artifak ini sangat sensitif dengan udara dan humiditi. Benda-benda ini kita kena tengok dan kita akan perincikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas Majlis Perasmian Program Borneo Lab 2026 di Muzium Negeri Sabah, kelmarin.
Jelas beliau, beberapa lokasi telah dicadangkan oleh kementerian, namun perbincangan lanjut masih diperlukan sebelum keputusan dibuat.
Mengenai muzium sedia ada, Dr. Andi berkata penambahbaikan akan dilakukan sementara kementerian memperincikan sama ada ia perlu dipulihkan atau dinaik taraf.
“Perbincangan ini baru di peringkat awal dan kita akan bincangkan di kementerian dengan lebih mendalam,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan yang dibacakan Dr. Andi bagi pihak Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Haji Ariffin, muzium baharu itu akan dibangunkan dengan konsep lebih moden, berdaya saing dan berdaya tahan.
Jafry berkata muzium baharu itu penting untuk mengekalkan dan memelihara artifak yang ada di Sabah selain menarik minat pelancong.
Beliau berharap muzium baharu itu dapat digunakan dalam masa beberapa tahun untuk memastikan warisan negeri terus terpelihara.

