KUALA LUMPUR: 4 November 2026 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat elemen “sakau” dalam pelaksanaan projek Saluran Paip Gas Sabah (TSGP), dengan pembayaran RM8.3 bilion dibuat pada 2018 namun kemajuan fizikal projek hanya 13 peratus.
Beliau berkata, TSGP dan Multi-Product Pipeline (MPP) bernilai RM9.4 bilion itu diluluskan pada 2016 menerusi rundingan terus tanpa tender. TSGP membabitkan saluran sepanjang 680 kilometer yang menghubungkan Kimanis, Sandakan dan Tawau.
Menurutnya, punca utama kerugian berlaku kerana jadual pembayaran ditetapkan berdasarkan tarikh, bukan kemajuan fizikal. Ini menyebabkan bayaran terpaksa dibuat walaupun kerja pembinaan belum bermula.
“Laporan siasatan menunjukkan ada elemen ‘sakau’. Siasatan masih belum ditutup kerana ia melibatkan dua negara,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin di Dewan Rakyat kelmarin.
Projek tersebut dibatalkan pada 2018, namun kerajaan masih terikat dengan obligasi pinjaman RM8 bilion dengan China Exim Bank. Pihak China juga dilaporkan tidak bersetuju meneruskan projek di Sabah.
Untuk menampung keperluan tenaga di Sabah, kerajaan Persekutuan mengambil langkah alternatif menerusi projek baharu bernilai hampir RM5 bilion, iaitu Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu (RM644 juta), Southern Link (RM765 juta) dan Projek Hidroelektrik Ulu Padas (RM4 bilion).
Susulan perjanjian penstrukturan semula pinjaman RM5 bilion yang ditandatangani pada 30 Oktober lalu, kerajaan berjaya mengurangkan risiko kerugian negara kini RM3 bilion berbanding RM8 bilion.
