TAMBUNAN: 22 September 2026 — Kembara Kitchen Sabah menyasarkan peluasan bantuan makanan ke seluruh daerah di Sabah selepas berjaya mengagihkan ribuan set makanan kepada mangsa bencana dan anggota penyelamat.
Inisiatif itu menyaksikan penyerahan bantuan makanan percuma kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan pada 14 September lalu.
Pengasas bersama Sabah, Steavaynie Ginadus, 24, berkata program khidmat masyarakat itu sebahagian komitmen perniagaan mereka yang menyalurkan matlamat operasi untuk membantu golongan tidak berkemampuan.
“Sebagai anak jati Kampung Pupuluton, Tambunan, saya menyumbang semula kepada anggota bomba di daerah sendiri, sebelum memperluas misi ini ke seluruh Sabah,” katanya.
Menurut Steavaynie, produk hidangan sedia dimakan (RTE) direka khas untuk situasi kecemasan kerana tahan sehingga 18 bulan tanpa peti sejuk.
“Ketika bencana, mangsa sering terperangkap tanpa bekalan elektrik atau alat memasak. Produk kami boleh dibuka dan dimakan tanpa dimasak,” katanya.
Tahun lalu, 25,000 set makanan dihantar ke pasaran Sabah.
Sejak cawangan tempatan beroperasi, 5,000 hingga 6,000 set makanan lagi disalurkan, termasuk agihan terbesar kepada mangsa dan anggota Bomba Sandakan ketika kebakaran besar di Kampung Bahagia.
Selain bomba, sasaran agihan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan golongan B40.
Kembara Kitchen merancang membawa konsep Kembara Community Centre (K3C) yang kini beroperasi di Shah Alam ke Sabah.
Pusat komuniti itu bakal membekalkan barangan keperluan asas harian seperti lampin pakai buang, susu bayi, pakaian dan bahan makanan mentah kepada golongan memerlukan.

