Vesel kayu bawa 36 warga Indonesia ditahan maritim

NEWS pic

Oleh: Nurul Fazliana Norman

LUMUT: 21 September 2026 – Maritim Malaysia menahan vesel kayu Indonesia tanpa nombor pendaftaran membawa 36 warga Indonesia disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin melalui laluan laut tidak sah kira-kira 9.4 batu nautika barat daya muara Sungai Belukang, Perak, pada 18 September.

Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak melakukan penahanan itu dalam operasi susulan risikan aktiviti penyeludupan migran di perairan berkenaan.

Vesel dikesan semasa pemantauan sebelum dipintas untuk pemeriksaan.

Pemeriksaan mendapati 36 individu terdiri dari tiga kru termasuk tekong dan 33 penumpang berusia dua hingga 57 tahun. Dua wanita hamil, manakala tiga kanak-kanak membabitkan seorang lelaki dan dua perempuan.

Pemeriksaan lanjut menemukan pasport, kad pengenalan Indonesia dan beg pakaian milik mereka.

Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak menggunakan laluan keluar atau masuk sah ke Malaysia.

Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Tahanan bersama vesel dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Maritim Negeri Perak akan mempertingkat rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan untuk membendung kegiatan rentas sempadan yang menyalahi undang-undang, termasuk penyeludupan migran dan pergerakan individu melalui laluan tidak sah.

Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal