Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
PENAMPANG: 18 September 2026 – Seorang pekerja binaan warga asing berusia 20 tahun maut selepas terjatuh dari aras 20 sebuah bangunan dalam pembinaan di Jalan Bundusan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi ketika mangsa menjalankan kerja pembinaan di aras 20 bangunan terbabit.
Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, bersama Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat demi menentukan punca sebenar kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis. Mereka juga diminta tidak mengedarkan gambar atau video berkaitan kejadian demi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa.
Sumber: IPD Penampang

