Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 16 September 2026– Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 menekankan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utama menerusi peluang ekonomi, keharmonian masyarakat, keselamatan, akses kemudahan, persekitaran sihat dan pemeliharaan budaya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, Datuk Jafry bin Ariffin, berkata tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” membawa mesej pembangunan yang perlu dilihat daripada perspektif manusia.
“Kesejahteraan harus dapat dirasakan dalam kehidupan melalui peluang ekonomi, keharmonian masyarakat, keselamatan, akses kepada kemudahan, persekitaran yang sihat dan keyakinan bahawa masa depan anak-anak kita lebih baik,” katanya.
Jafry berkata, kekayaan budaya Sabah melalui tarian, muzik, bahasa, adat, kraftangan, makanan dan cara hidup masyarakat menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat.
“Pengenalan terhadap budaya masing-masing membina rasa hormat. Rasa hormat yang tumbuh mengukuhkan perpaduan,” katanya.
Aspek alam sekitar turut diberi perhatian dengan gunung, hutan hujan, sungai, pulau dan laut sebagai aset pelancongan, sumber kehidupan dan identiti Sabah.
“Kesejahteraan yang dinikmati hari ini tidak akan lengkap jika pembangunan menjejaskan alam yang sepatutnya diwariskan kepada anak cucu,” katanya.
Sambutan sempena ulang tahun ke-63 pembentukan Malaysia turut diserikan Majlis Tahlil, Doa Selamat, pameran sejarah oleh Arkib Negeri Sabah dan Konvoi Kembara Merdeka.
Jafry berkata, penghayatan sejarah penting khususnya kepada generasi muda untuk memahami pembentukan Malaysia melalui keputusan besar, rundingan, pengorbanan dan keberanian generasi terdahulu.
Sambutan turut mengetengahkan seni budaya sebagai cerminan identiti, kreativiti dan semangat kebersamaan.
Penghargaan diberikan kepada kementerian, jabatan, agensi keselamatan, agensi kecemasan, pasukan teknikal, penggiat seni budaya, petugas, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan sambutan.
Rakyat diseru mengibarkan Jalur Gemilang dengan rasa bangga, memelihara keharmonian komuniti dan memperkukuh hubungan sesama masyarakat.
“Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-63 kepada seluruh rakyat Malaysia.”
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

