KUALA LUMPUR: 15 Julai 2025 — Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, menyokong Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 tetapi memberi amaran bahawa kuasa baharu yang diberikan kepada kerajaan mesti disertakan dengan mekanisme semak dan imbang yang kukuh demi mengelakkan penyalahgunaan.
Beliau berkata pindaan ini perlu untuk menangani jenayah siber dan perkembangan AI, namun Parlimen bertanggungjawab memastikan kuasa itu tidak disalahgunakan.
“Sejarah membuktikan bahawa banyak negara tidak kehilangan kebebasan secara mendadak. Mereka kehilangannya sedikit demi sedikit, melalui undang-undang yang pada asalnya digubal dengan niat yang baik,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang di Dewan Rakyat.
Beliau menekankan ancaman sebenar lebih besar daripada berita palsu, dengan AI mampu menghasilkan video palsu, meniru suara, mencuri identiti, memanipulasi pilihan raya dan mengeksploitasi kanak-kanak.
“Penjenayah hari ini tidak lagi memerlukan pistol. Mereka hanya memerlukan komputer riba dan sambungan internet,” tegasnya.
Kitingan juga bertanya kepada Menteri Komunikasi sama ada terdapat panel pakar bebas dalam AI, keselamatan siber dan etika teknologi, juga sama ada laporan tahunan mengenai penyalahgunaan AI akan dibentangkan di Parlimen.
“Jika tiada mekanisme seperti ini, kita mungkin meluluskan undang-undang yang sudah menjadi lapuk sebelum dakwatnya benar-benar kering,” katanya.
Beliau turut menyentuh kebebasan, dengan menyatakan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia tidak takut kepada undang-undang, tetapi takut kepada penyalahgunaan undang-undang.
“Kita mesti memberi kuasa kepada kerajaan untuk melawan scammer. Tetapi jangan sampai kuasa itu boleh menimbulkan persepsi bahawa suara rakyat juga boleh dibungkam,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa kerajaan silih berganti tetapi undang-undang kekal, justeru undang-undang yang diluluskan hari ini mestilah cukup adil untuk digunakan oleh mana-mana kerajaan pada masa hadapan.
“Inilah ukuran sebenar sebuah demokrasi matang,” ujarnya.
Membawa perspektif Sabah, Dr Kitingan menyatakan masih terdapat kampung di Sabah yang tidak mendapat capaian internet berkualiti, dengan pelajar mencari isyarat di bukit atau atas pokok, dan usahawan luar bandar tidak mampu bersaing.
“Bagaimanakah kita mahu bercakap mengenai AI sedangkan sebahagian rakyat masih bergelut mendapatkan talian internet yang stabil?” soal beliau.
Beliau memberi amaran bahawa jurang digital akhirnya akan menjadi jurang ekonomi, sosial dan politik.
“Inilah yang perlu kita elakkan,” katanya.
Kitingan mengakhiri ucapan dengan menyatakan bahawa masa depan negara tidak akan ditentukan oleh kecanggihan AI semata-mata, tetapi oleh kebijaksanaan manusia yang mengawal AI.
“Undang-undang boleh melahirkan masyarakat yang takut, tetapi undang-undang yang baik akan melahirkan masyarakat yang yakin. Undang-undang boleh menutup mulut rakyat, tetapi undang-undang yang bijaksana akan melindungi hak rakyat sambil menghukum penjenayah,” katanya.
Beliau berharap bila sejarah menilai Parlimen ini ia berkata: “Mereka bukan sahaja berjaya mengawal teknologi, tetapi mereka juga berjaya mempertahankan kebebasan rakyat.”
Rang undang-undang itu diluluskan Dewan Rakyat hari ini dengan undi majoriti selepas dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen.

