Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUALA PERLIS: 14 September 2026 – Mayat seorang nelayan yang dikhuatiri hilang di perairan Perlis ditemui komuniti nelayan kira-kira 400 meter dari Pulau Batu Layang, kelmarin, ketika operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang disambung semula oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Operasi berkenaan disambung selepas Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) diaktifkan semula pada jam 8 pagi untuk mengesan nelayan terbabit yang dilaporkan hilang.
Mayat ditemukan pada jam 8.25 pagi sebelum aset Bot Benteng 1207 digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.08 pagi untuk mengambil mayat berkenaan.
Mayat kemudian dibawa ke Jeti Kastam Kuala Perlis pada jam 9.30 pagi sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) lima minit kemudian untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Operasi turut membabitkan PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dengan lima aset digunakan.
Aset terbabit ialah Bot Benteng 1207, Bot PSC 20, dua bot penyelamat JBPM dan sebuah bot APM.
Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

