Sabah ungguli kedudukan pingat Para SUKMA dengan 14 emas

WhatsApp Image 2026 09 07 at 15.30.25

KOTA KINABALU, 7 September 2026 — Kontinjen Sabah terus menduduki tangga teratas carta pingat Para SUKMA XXII Selangor 2026 dengan kutipan 14 emas, 10 perak dan 12 gangsa, keseluruhan 36 pingat.

Sabah mendahului Selangor yang berada di tempat kedua dengan 11 emas, enam perak dan lapan gangsa, manakala Sarawak di tempat ketiga dengan lima emas, enam perak dan tujuh gangsa.

Lima daripada enam emas yang diraih Sabah pada hari pertama disumbangkan menerusi Para Olahraga, manakala satu lagi menerusi Para Ping Pong.

Mohamad Faqrul Nizam muncul juara Lontar Peluru F33 Lelaki dengan catatan 6.01 meter, manakala Mohamad Syahzwan William memenangi Lontar Peluru F20 Lelaki dengan lontaran 14.44 meter.

Eljoe Gotuoh mempertahankan kejuaraan Lompat Jauh T20 Lelaki dengan lompatan 7.06 meter, sekali gus melengkapkan hatrik emas di pentas Para SUKMA. Charmian Sikajat turut menghadiahkan emas dalam Lontar Peluru F20 Wanita selepas mencatat 11.70 meter yang direkodkan sebagai rekod baharu temasya.

Emas kelima disumbangkan Muhamad Shaban Shahid yang menjuarai acara 100 meter T45 Lelaki dengan catatan 13.210 saat pada penampilan sulungnya.

Mohd Nazizul Hamzah melengkapkan penguasaan Sabah dengan emas dalam acara Perseorangan Lelaki Kelas 6-7 Para Ping Pong. Kemenangan itu menjadikan lima edisi berturut-turut sejak Para SUKMA Sarawak 2016, selain menjadi penampilan terakhirnya.

Hari ini, Sabah menambah dua emas menerusi Para Renang. Abdul Halim Mohammad menjuarai acara 100 meter kuak dada SB8 Lelaki dengan catatan 1 minit 15.79 saat, manakala Wahyu Eqwal Nazrey muncul juara 50 meter gaya bebas S4/S5 Lelaki dengan masa 41.84 saat.

Jonathan Wong Zee Siang turut meraih gangsa dalam acara sama dengan catatan 53.26 saat.

Dengan tambahan emas dalam Para Renang, Sabah kini mengumpul 36 pingat untuk terus mengungguli kedudukan temasya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal