Oleh: Nurul Fazliana Norman
PENAMPANG: 7 September 2026 – Dabra mengungguli minggu pertama program realiti Borneo Rising 2026 dengan markah keseluruhan 78.95 peratus menerusi persembahan lagu Wicked Game nyanyian Chris Isaak, dalam saingan yang berlangsung di ITCC Mall, Penampang, semalam.
Dabra diikuti Petrova di tempat kedua dengan 76.92 peratus, Syukri (72.28 peratus), Havard (71.36 peratus), Harris (67.66 peratus) dan Joy (66.91 peratus).

Persembahan Dabra turut membolehkannya membawa pulang RM1,000 selepas dipilih sebagai pemenang Persembahan Paling Power tajaan CelcomDigi pada segmen terakhir.
Minggu pertama yang bertemakan ‘This Is Me’ bagaimanapun tidak menyaksikan penyingkiran apabila tiga peserta dengan markah terendah iaitu Faris (58.11 peratus), Rizzani (49.03 peratus) dan Aadel (45.27 peratus) berdepan penentuan nasib.
Juri mengambil keputusan menyelamatkan Faris, manakala Rizzani dan Aadel akan menentukan nasib mereka menerusi pertandingan battle pada segmen pertama minggu kedua.

Borneo Rising 2026 menampilkan Noh Salleh, Marsha Milan dan Shila Amzah sebagai juri, manakala program dikendalikan Zizan Razak dan Sherry Alhadad.

Program itu berlangsung selama lapan minggu bermula 6 September hingga 25 Oktober 2026 dan disiarkan secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104) dan TV Okey (Saluran 146).
Borneo Rising turut boleh ditonton menerusi On Demand, Astro GO, Sooka dan RTMKlik.
Selain itu, Borneo Rising menampilkan RTM sebagai rakan penyiar strategik, Astro Gempak sebagai Rakan Digital dan ERA, ERA Sabah sekali gus ERA Sarawak sebagai Rakan Radio Rasmi.
Penjurian ditentukan menerusi 80 peratus markah juri profesional dan 20 peratus undian penonton.
Pemenang utama Borneo Rising berpeluang menerima single dan video muzik baharu, pembangunan kandungan digital, sokongan pemasaran dan promosi, peluang pendedahan merentas platform televisyen, radio dan digital Astro, wang tunai serta trofi sumbangan Astro.

