KOTA KINABALU: 22 Ogos 2026 — Pengguna kereta api di Sabah bakal mendapat akses lebih mudah menerusi enam perhentian baharu di sepanjang laluan Stesen Kinarut hingga Stesen Sembulan yang dijangka beroperasi pada Oktober ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, berkata perhentian berkenaan membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan kereta api dari kawasan yang lebih dekat dengan kediaman masing-masing dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada stesen utama untuk bergerak ke pusat bandar.

“Pelaksanaan perkhidmatan komuter ini adalah langkah penting untuk menjadikan perkhidmatan kereta api lebih mudah diakses, praktikal dan dekat dengan rakyat.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Kereta Api Ke-130 di Stesen Tanjung Aru, hari ini.
Menurutnya, perkhidmatan kereta api bukan sahaja perlu dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan Sabah sejak 1896, tetapi mesti terus memainkan peranan penting dalam sistem pengangkutan awam.
Pelaksanaan komuter itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang bersepadu, cekap dan mesra rakyat.
MINDET sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap sektor pengangkutan akan terus memberi perhatian kepada usaha memperkasakan sistem pengangkutan awam Sabah.

