Susulan 10,557 kekosongan jururawat, KKM perkasa tiga strategi tenaga kerja

3901aa0e 5ac4 4cea 8601 713f6c102d23

KOTA KINABALU: 15 Ogos 2026 — Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini mengakui bahawa sistem kesihatan negara berada di persimpangan kritikal, memperingatkan bahawa kekurangan tenaga jururawat yang serius memerlukan tindakan segera dan berterusan.

“Sistem kesihatan kita berada di persimpangan yang amat genting,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen ILKKM 2026 Zon Sabah yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah. Beliau mendedahkan bahawa daripada 73,281 perjawatan Jururawat Gred U5, hanya 62,724 jawatan yang kini diisi.

Menteri itu mengesahkan bahawa rekod setakat 30 Jun tahun ini menunjukkan kekosongan sebanyak 10,557 jawatan. “Kekosongan ini berpunca dari beberapa faktor utama – persaraan, penghijrahan kepakaran ke luar negara, serta persaingan sengit daripada sektor swasta,” jelasnya.

Bagi menangani isu mendesak ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan tiga strategi utama sebagai reformasi tenaga kerja kesihatan.

Strategi pertama memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran graduan, dengan pengambilan jururawat pelatih dinaikkan kepada 3,000 orang setahun mulai 2025.

KKM menyasarkan pengeluaran 13,345 graduan ILKKM bagi tempoh 2025 hingga 2030.

Kementerian juga merancang penyumberluaran sehingga 2,000 pelatih setahun ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Menjelang Oktober 2027, empat cawangan ILKKM di Kuantan, Kuala Terengganu, Muar dan Pulau Pinang akan dibuka semula dengan kapasiti pelatih tambahan, sekaligus meningkatkan kapasiti keseluruhan program Diploma Kejururawatan kepada 5,500 pelatih setahun.

Strategi kedua melibatkan peluasan laluan kerjaya menerusi 15 Program On-The-Job Training (OJT) yang dirancang bermula September ini.

Program ini membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh yang lama.

KKM turut memperluas laluan Jururawat Masyarakat untuk menjadi Jururawat menerusi Diploma Peralihan.

Strategi ketiga pula melaksanakan pengambilan terus dan autonomi pengurusan perjawatan. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan pengecualian Lantikan Kontrak Interim bagi membolehkan graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia diserap terus ke jawatan tetap.

KKM juga diberikan kuasa autonomi menguruskan perjawatan berkuat kuasa 9 Julai 2026 bagi mempercepatkan penempatan graduan ke lapangan.

Seramai 6,987 graduan ILKKM diraikan pada Istiadat Konvokesyen 2026, termasuk 924 graduan Zon Sabah yang menerima skrol di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal