Gambar ilustrasi
Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUALA LUMPUR: 13 Ogos 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkuat kuasa serta-merta menetapkan tempoh sah laku maksimum Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) selama 10 tahun kepada semua pemegang pasport di Malaysia, bertujuan untuk menyeragamkan tempoh sah laku dan mengelakkan kekeliruan ketika pendaftaran masuk dengan syarikat penerbangan luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria bin Shaaban berkata, keputusan itu dibuat selepas beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun menghadapi kesukaran melakukan perjalanan ke luar negara.
“Penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA dan mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan media kelmarin.
JIM memaklumkan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun akan dihentikan sehingga isu berkenaan diselesaikan dengan pihak syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun, mereka akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.
Pemegang PMA yang terlibat turut diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.
JIM juga akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan untuk membantu pengembara Malaysia yang terjejas di luar negara.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen JIM untuk menambah baik pelaksanaan PMA, sekali gus memastikan urusan perjalanan antarabangsa rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

