Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 10 Ogos 2026 – Kolej Vokasional (KV) Keningau meraih tujuh anugerah termasuk satu emas, dua perak, tiga gangsa dan satu diploma pada Borneo Culinary World Cup di Kuching, Sarawak, sejak 5 hingga 7 Ogos lalu.
Pencapaian itu diraih enam pelajar dan seorang guru daripada program Seni Kulinari, Bakeri dan Pastri menerusi lima kategori pertandingan.
Dalam kategori ukiran buah dan sayur, Nur Haziqah Mairah binti Ah Yuk@Awang meraih emas, manakala Lovelina Lim dan Ryan Yop masing-masing memenangi perak dan diploma.
Tiga gangsa pula disumbangkan pelajar Bakeri dan Pastri, iaitu Muhammad Aqil Adwa Khnin dalam cabaran pizza, Nurul Fitriyani Izwani Abdul Mutalip untuk kategori kek majlis perkahwinan gaya bebas dan Hirday Yasin dalam kategori kek bertemakan flora dan fauna.
Sementara itu, guru Seni Kulinari, Saumon Maliki, meraih perak dalam cabaran mee gaya bebas Borneo.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berkata kejayaan itu membuktikan kepentingan pendidikan berasaskan kemahiran.
“Pencapaian ini membuktikan betapa pentingnya pendidikan berasaskan kemahiran dan relevannya pendidikan kolej vokasional dalam melahirkan pelajar berkemahiran,” katanya.
Borneo Culinary World Cup anjuran Malaysia Bersatu Culinary Association (MBCA) bersama agensi berkaitan menghimpunkan kira-kira 600 peserta dari 40 negara dengan sekitar 35 kategori dipertandingkan.

