Sabah jadi tuan rumah IJMAM kebangsaan

WhatsApp Image 2026 08 07 at 6.07.44 PM

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KINABALU: 7 Ogos 2026 – Sabah dipilih menjadi tuan rumah Ijtimak Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung pada September ini, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan negeri itu menganjurkan program berkenaan, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.

Menurut beliau, pemilihan itu merupakan satu penghormatan dan tanggungjawab besar kepada Kerajaan Negeri dalam memastikan penganjuran IJMAM Peringkat Kebangsaan berjalan lancar.

“Saya berharap para peserta yang terpilih nanti dapat membuat persediaan sebaik mungkin dan memberikan yang terbaik dalam membawa nama negeri Sabah dan gunakanlah pengalaman yang diperoleh sepanjang IJMAM Peringkat Negeri Sabah sebagai bekalan menghadapi peringkat kebangsaan nanti.

“Insya-Allah, dengan semangat kerjasama dan komitmen semua pihak, saya yakin Negeri Sabah mampu menjadi tuan rumah yang baik dan dapat menjayakan IJMAM Peringkat Kebangsaan dengan lancar dan sempurna,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Ijtimak Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Negeri Sabah 2026 di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini, pada Rabu.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos itu menghimpunkan 155 peserta saudara baharu dari seluruh negeri yang menyertai pelbagai pertandingan termasuk Tilawah al-Quran, Hafazan, Azan, Iqamah, dan Nasyid Pertandingan Video Kreatif.

Selain pertandingan, peserta turut mengikuti pelbagai aktiviti riadah dan sukan yang bertujuan mengeratkan hubungan, memupuk semangat kebersamaan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan saudara baharu.

“Saya percaya program ini memberikan banyak pengalaman selain mewujudkan persahabatan baharu, saling mengenali, bertukar pengalaman dan mengeratkan lagi hubungan sesama saudara seagama,” ujarnya.

Isnin berkata, IJMAM bukan sahaja menjadi platform mengiktiraf pencapaian saudara baharu, malah membuka peluang kepada mereka mendalami ilmu agama melalui pelbagai pengisian dan pertandingan yang dianjurkan.

Pada majlis itu, Anjung Pendidikan Penampang (APEN) dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Ag Tahir dan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu@Aziz Jaafar.

Sumber: JAPEN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal