Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
TAWAU: 2 Ogos 2026 – Suasana meriah di Pameran Rumah Etnik Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2026 di mana 32 komuniti bersaing menampilkan keunikan budaya masing-masing.
Rumah Etnik Bugis berjaya mencuri perhatian dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan, membawa pulang hadiah RM2,000 dan piala pusingan.
Bagi pengunjung tempatan dan luar Sabah, ia bukan sekadar pertandingan tetapi seperti ‘melancong ke seluruh Nusantara’ dalam satu hari.
Setiap rumah etnik mempamerkan budaya, busana tradisional, makanan warisan dan kraftangan yang memukau.
“Setiap rumah ada cerita dan keistimewaan tersendiri,” kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, ketika merasmikan majlis pada Jumaat.
Berita baiknya, FKAT akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan Sabah pada 2027 sempena Tahun Melawat Sabah.
Ini bermakna, festival yang sebelum ini lebih dikenali di peringkat tempatan bakal menjadi tarikan utama pelancong luar negara.
“Tahun depan kita sambut lebih besar dan meriah!” janji beliau.
Pertandingan kali ini menyaksikan Rumah Etnik Toraja di tempat kedua (RM1,500) dan Rumah Etnik Mandar di tempat ketiga (RM1,000).
Bagi penduduk Tawau, ini adalah peluang untuk berbangga kerana kini FKAT diiktiraf di pentas yang lebih luas.
Tidak disangka, rumah-rumah etnik yang dihias penuh warna-warni ini mampu mengubah wajah pelancongan Sabah.
Turut hadir Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin, serta Setiausaha Majlis Perbandaran Tawau, Siti Nabillah Hadi.
Sumber: JAPEN

