Polis siasat penemuan mayat bayi di Penampang

WhatsApp Image 2026 07 30 at 2.02.16 PM

Gambar ilustrasi

Oleh: Nurul Fazliana Norman

PENAMPANG: 30 Julai 2026 – Polis menyiasat penemuan mayat bayi dipercayai tidak cukup sifat ditemukan berhampiran sebuah rumah di Kampung Boliga Kolopis, Penampang pada Selasa, selepas menerima laporan kira-kira jam 11.52 pagi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mayat bayi berkenaan dipercayai tidak cukup sifat dan ditemukan berhampiran rumah pengadu.

“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah bersama Unit K-9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan ke lokasi untuk membantu siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan cara membuang mayat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Katanya, polis kini mengesan individu yang bertanggungjawab dan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kes itu untuk mengelakkan siasatan polis terjejas.

Sumber: Polis Daerah Penampang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal