KOTA KINABALU: 16 Julai 2026 – Kejohanan BAM Championship yang berlangsung di Dewan Sri Putatan, Kota Kinabalu, esok akan disiarkan secara langsung percuma dari jam 4 hingga 6 petang menerusi Facebook, YouTube dan TV Sabah, manakala aksi utama bermula jam 7 malam boleh ditonton secara bayar-per-tonton (PPV) di platform TV Sabah OTT.
Penganjuran kejohanan itu turut diserikan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kelab Tinju Profesional Kinabalu (KTPK) dan European Wellness Sports Science Regenerative Centre (EW-SSRC) hari ini, yang disifatkan sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan atlet serta teknologi pemulihan di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, melalui wakilnya Francis Chung, berkata kerjasama antara KTPK dan EW-SSRC mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasakan sukan tinju profesional dan meningkatkan standard penjagaan atlet.
Menurut Nizam, pendekatan yang menggabungkan sains sukan, teknologi pemulihan dan perubatan regeneratif bukan sahaja membantu atlet pulih dari kecederaan, malah membolehkan mereka mengekalkan prestasi terbaik dalam pertandingan.

“Pemilihan Sabah sebagai lokasi kerjasama ini membuktikan keyakinan terhadap potensi wilayah Sabah untuk berkembang sebagai pusat pembangunan sukan berprestasi tinggi, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan dan kerjasama dalam industri sukan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha KTPK, Encik Zairul, berkata kerjasama itu membuka peluang kepada atlet Sabah untuk memanfaatkan teknologi pemulihan kecederaan dan kepakaran perubatan sukan yang mampu meningkatkan prestasi mereka, justeru menyeru atlet tempatan mengambil peluang itu untuk meningkatkan kualiti latihan.
Zairul turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Lembaga Sukan Negeri Sabah, European Wellness dan Persekutuan Tinju Profesional Malaysia (MPBF) atas sokongan dalam menjayakan kejohanan itu. Menurutnya, kejohanan tersebut mendapat komitmen tinggi daripada petinju, jurulatih dan pengurus pasukan yang telah membuat persiapan sejak dua hingga tiga bulan lalu, dengan penyertaan atlet dari beberapa daerah termasuk Sandakan, Tongod, Tambunan, Penampang dan Kota Kinabalu.
Beliau berharap kerjasama antara badan sukan, agensi kerajaan dan sektor swasta akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai petinju profesional dari Sabah yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Majlis pemeteraian MoU antara EW-SSRC dan KTPK itu diadakan sebagai langkah memperkukuh kerjasama dalam pembangunan atlet serta memajukan industri tinju profesional di Sabah, selaras dengan penganjuran Kejohanan BAM Championship esok.

