Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 16 Julai 2026 – Gelaran “The Zombie” bukan sekadar nama dalam gelanggang, sebaliknya membawa semangat juang seorang petinju muda Malaysia yang mahu terus mencipta nama di pentas antarabangsa.
Hazman Iskandar Zulkifli Siew hadir dengan rekod tujuh kemenangan dan satu kekalahan, selain pernah merangkul beberapa kejayaan termasuk pingat emas Sukma 2024 serta gelaran WBA Asia South Featherweight Champion 2026.
Kini, petinju profesional berusia muda itu memburu satu lagi pencapaian besar apabila bakal beraksi dalam pertarungan merebut gelaran WBC OPBF Silver.
Dari Sabah ke pentas antarabangsa
Walaupun membawa nama Malaysia, Hazman mempunyai hubungan rapat dengan Sabah apabila ibunya berasal dari Tawau.
Menurut Hazman, Sabah bukan tempat asing baginya kerana dia pernah menghabiskan beberapa tahun ketika kecil sebelum berpindah ke Kuala Lumpur.
“Saya pernah tinggal di Sabah ketika saya masih kecil. Selepas itu saya berpindah ke Kuala Lumpur, tetapi setiap beberapa bulan saya akan kembali melawat nenek saya di Tawau,” katanya.
Hubungan dengan Sabah menjadikan pertarungan kali ini lebih bermakna kerana ia berlangsung di negeri yang mempunyai nilai sentimental buat dirinya.
Cabaran pertama di Malaysia
Hazman mengakui pertarungan kali ini amat dinantikan kerana ia merupakan penampilan profesional pertamanya di Malaysia selepas banyak beraksi di luar negara, khususnya Bangkok, Thailand.

“Sebelum ini semua pertarungan saya berlangsung di luar negara seperti Bangkok, Thailand. Kali ini saya akan bertanding di hadapan keluarga, penyokong dan orang ramai,” katanya.
Baginya, peluang beraksi di Sabah adalah satu penghormatan dan menjadi motivasi tambahan untuk memberikan persembahan terbaik.
Sudah kaji gaya lawan
Berdepan petinju dari India, Kuldeep Tarkar, Hazman tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi.
Menurutnya, dia sudah membuat kajian terhadap gaya pertarungan lawannya yang juga menggunakan teknik southpaw.
“Saya dan Kuldeep adalah petinju southpaw. Saya sudah melihat banyak pertarungan beliau, terutama yang berlangsung di Bangkok. Saya sudah mengkaji gaya dan cara dia bertarung,” katanya.
Namun, Hazman yakin dengan persediaan yang dilakukan bersama pasukannya.
“Saya rasa Kuldeep adalah petinju yang baik, tetapi saya percaya saya mempunyai kelebihan dari segi kekuatan. Saya akan memberikan yang terbaik dalam gelanggang,” katanya.
Sasaran bergelar juara dunia
Bagi Hazman, setiap pertarungan adalah langkah untuk mencapai impian lebih besar iaitu bergelar juara dunia.
“Sasaran saya adalah menjadi juara dunia,” katanya ringkas.
Beliau turut melihat perkembangan sukan tinju di rantau Asia Tenggara semakin positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, ketika mula menceburi bidang tinju pada 2023, peluang pertandingan profesional masih terhad.
“Ketika saya mula bertanding, tidak banyak pertandingan profesional diadakan, mungkin kurang daripada tiga pertandingan setahun. Tetapi selepas tiga tahun, sukan ini berkembang dengan besar dan kini terdapat kira-kira 10 pertandingan profesional setiap tahun,” katanya.
Seruan kepada penyokong Sabah
Menjelang pertarungan itu, Hazman berharap penyokong tempatan hadir memberikan sokongan serta menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya.
“Jika anda berada di Kota Kinabalu, datanglah dan beri sokongan. Jika tidak dapat hadir, anda masih boleh menonton melalui platform TV Sabah seperti YouTube, TikTok dan Facebook,” katanya.
Bagi Hazman, sokongan daripada peminat menjadi pembakar semangat untuk membuktikan bahawa petinju Malaysia juga mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Dengan gelaran “The Zombie” yang sinonim dengan semangat tidak mudah menyerah, Hazman kini bersedia turun ke gelanggang untuk memburu kemenangan dan menambah satu lagi sejarah dalam kariernya.

