KUALA LUMPUR: 11 Julai 2026 – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mahu hak dan bidang kuasa Sabah dan Sarawak terus dihormati dalam penggubalan dasar pertanian negara, khususnya dalam pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026.
Beliau berkata, sebarang dasar atau peraturan yang menyentuh fungsi serta bidang kuasa Sabah dan Sarawak perlu dilaksanakan selaras dengan semangat federalisme dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat pada Khamis, Madius berkata beliau menyokong usaha kerajaan memperkukuhkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 demi membanteras penipuan, penyorokan bekalan, pemalsuan gred beras, manipulasi pasaran dan kegiatan kartel.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pindaan itu tidak seharusnya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada strategi nasional untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan negara, meningkatkan pengeluaran padi tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import beras.
“Hari ini persoalan yang lebih besar ialah bukan bagaimana kita mengawal beras, tetapi bagaimana kita menghasilkan lebih banyak beras,” katanya.
Menurut beliau, masalah sebenar industri padi negara perlu ditangani secara menyeluruh, termasuk isu produktiviti yang masih rendah, peningkatan kos pengeluaran, pendapatan pesawah yang belum memadai dan kebergantungan negara kepada bekalan beras import.
Dalam perbahasan itu, Madius turut membangkitkan kebimbangan terhadap kuasa yang diberikan kepada Menteri di bawah Seksyen 29 untuk membuat pelbagai peraturan berkaitan penggredan beras, pelabelan, kawalan harga, pemindahan padi dan beras serta perkara lain.
Beliau mencadangkan supaya setiap peraturan yang ingin dibuat di bawah seksyen itu didahului dengan rundingan rasmi bersama wakil pesawah, pengilang, pengguna, kerajaan Sabah dan Sarawak serta semua pihak berkepentingan.
“Kuasa yang luas mestilah diimbangi dengan akauntabiliti yang tinggi. Dasar yang baik lahir dari konsultasi dan pematuhan kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Madius berkata, Malaysia merupakan sebuah Persekutuan yang dibentuk berasaskan perkongsian kuasa, justeru sebarang dasar yang melibatkan Sabah dan Sarawak perlu menghormati kedudukan khas kedua-dua wilayah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mengemukakan konsep Federal Agricultural Governance, iaitu pendekatan yang membolehkan dasar strategik berkaitan pertanian, padi dan beras dirangka secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak.
“Inilah semangat sebenar sebuah Persekutuan. Inilah federalisme yang matang. Dan TUARAN percaya, inilah juga semangat yang melahirkan Malaysia pada tahun 1963.”
Menurut beliau, untuk mana-mana peraturan yang melibatkan bidang kuasa Sabah dan Sarawak yang dilindungi Perlembagaan, persetujuan kerajaan kedua-dua wilayah itu perlu diperoleh sebelum ia dikuatkuasakan.
Madius berkata, Sabah mempunyai cabaran tersendiri kerana sebahagian besar bekalan beras bergantung kepada pengangkutan laut, selain berdepan kos logistik yang lebih tinggi dan majoriti pesawah terdiri daripada pesawah kecil.
“Apa yang sesuai di Kedah belum tentu sesuai di Kota Belud. Apa yang sesuai di Perlis belum tentu sesuai di Tambunan. Apa yang sesuai di Tanjung Karang belum tentu sesuai di Tuaran.”
Sehubungan itu, beliau mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan, termasuk mewujudkan mekanisme konsultasi tetap bersama Sabah dan Sarawak melalui pendekatan Federal Agricultural Governance, mendapatkan persetujuan kerajaan Sabah dan Sarawak bagi perkara yang melibatkan bidang kuasa yang dilindungi Perlembagaan, membentangkan Laporan Keterjaminan Beras Negara setiap tahun di Parlimen serta menyediakan Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan Negara.
Mengakhiri perbahasan, Madius berkata keselamatan makanan bukan sekadar isu penguatkuasaan, malah berkait rapat dengan kedaulatan negara, masa depan pesawah dan hak rakyat mendapatkan bekalan makanan ruji pada harga yang berpatutan.
“Malaysia perlu beralih daripada pendekatan Federal Agricultural Administration kepada Federal Agricultural Governance — daripada pentadbiran secara berpusat kepada tadbir urus secara perkongsian. Hanya melalui perkongsian yang sebenar antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak, kita akan dapat membina sebuah Malaysia yang benar-benar berdaulat dari segi makanan, kukuh dari segi Perlembagaan dan makmur untuk seluruh rakyat.”

