KKDW sasar RM2.1 bilion perkasa luar bandar Sabah

WhatsApp Image 2026 07 06 at 13.52.33

KUALA LUMPUR: 6 Julai 2026 — Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM2.1 bilion menerusi Belanjawan 2026 untuk memperkasa pembangunan infrastruktur, prasarana dan sosioekonomi di kawasan luar bandar Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu disokong oleh Pelan Strategik KKDW 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada ekonomi digital, keusahawanan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bersama latihan kemahiran untuk belia dan wanita untuk meningkatkan pendapatan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Gapari Kitingan, dalam sesi Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK), yang memberi tumpuan kepada pembangunan produk bernilai tinggi bagi mengukuhkan ekonomi komuniti luar bandar.

Katanya, di Sabah, PROSPEK telah memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penduduk di Nabawan dan 4,647 penduduk di Tuaran menerusi projek ternakan lobster air tawar dan ketam nipah.

KKDW turut menyediakan kemudahan pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang menawarkan pembiayaan antara RM20,000 hingga RM250,000. Selain itu, Skim Pemerkasaan Keusahawanan Luar Bandar (SPLKB) menyediakan geran untuk menyokong operasi dan pembangunan perniagaan dalam kalangan usahawan luar bandar.

Bagi latihan dan peningkatan kemahiran, kementerian itu menyediakan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) yang memberikan bantuan peralatan dan latihan sehingga RM10,000 kepada setiap peserta.

Terdapat juga Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) yang bertujuan meningkatkan kebolehpasaran dan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk luar bandar.

“Di Sabah, PPP memberi manfaat kepada 50 peserta dengan peruntukan RM500,000, manakala PLKK melibatkan 32 peserta dengan peruntukan RM240,000,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

Dalam usaha menangani keperluan ekonomi digital, KKDW turut menawarkan latihan kemahiran jangka pendek, TVET, pemasaran digital dan e-dagang. Antara bidang pekerjaan digital yang diperkenalkan termasuk pencipta kandungan, pereka grafik, pembantu pintar maya dan pengurusan media sosial.

Menurut kementerian itu, kesemua inisiatif ini bertujuan membantu masyarakat luar bandar di Sabah meningkatkan pendapatan dan seterusnya mengurangkan jurang sosioekonomi antara wilayah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal