KOTA KINABALU: 1 Julai 2026 – Parti STARSABAH mempersoalkan alasan Kerajaan Persekutuan mengekalkan kuota subsidi diesel Budi Madani yang mula berkuatkuasa hari ini, dengan mendakwa dasar itu dibuat berasaskan statistik nasional yang tidak mencerminkan keadaan sebenar Sabah.
Ketua Penerangan STARSABAH, Anuar Ghani, dalam kenyataan pada 27 Jun lalu berkata, kerajaan perlu mendedahkan data khusus untuk Sabah sebagai bukti bahawa kuota 300 liter sebulan itu mencukupi untuk kegunaan para pengguna di Sabah.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang sebelum ini menyatakan bahawa 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang dari 300 liter sebulan, lalu kuota sedia dianggap memadai untuk majoriti rakyat Malaysia.
“Kenyataan itu mungkin kedengaran meyakinkan di Putrajaya, tetapi di Sabah ia menimbulkan persoalan yang jauh lebih penting – di manakah data Sabah?” soal Anuar dalam kenyataan pada Sabtu.
“Jika kerajaan Persekutuan menggunakan purata nasional untuk mempertahankan dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah, maka ia mengulangi kesilapan sama yang telah mengecewakan Sabah selama beberapa dekad – membuat keputusan mengenai Sabah tanpa benar-benar memahami Sabah,” tegasnya.
Menurut Anuar, geografi, infrastruktur, ekonomi dan kebergantungan Sabah terhadap kenderaan diesel sangat berbeza berbanding Semenanjung Malaysia. Justeru, purata nasional tidak sesuai digunakan untuk merangka dasar yang memberi kesan kepada Sabah.
Beliau mengaitkan isu itu dengan jawapan bertulis di Parlimen oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, pada 26 Februari lalu. Jawapan itu mengklasifikasikan Jalan Ranau-Tamparuli sebagai berada pada Tahap Perkhidmatan (LOS) A, walaupun jalan tersebut sering dilaporkan sesak teruk.
“Beliau menyatakan jalan itu masih mampu menampung aliran trafik sedia ada, sedangkan pengguna jalan raya yang bergerak antara pantai barat dan timur Sabah melalui Kundasang dan Ranau sering terpaksa berdepan kesesakan sehingga lima jam, terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum,” kata Anuar.
Beliau berkata contoh itu menunjukkan bagaimana penilaian di peringkat Persekutuan sering gagal menggambarkan keadaan sebenar di Sabah.
Anuar menjelaskan ramai rakyat Sabah terpaksa menempuh perjalanan jauh setiap hari untuk bekerja, bertani, mengangkut barang dan mendapatkan perkhidmatan asas, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Di sana, kenderaan pacuan empat roda berkuasa diesel adalah keperluan, bukan kemewahan.
“Kerajaan mengharapkan rakyat Sabah mempercayai statistik yang dikumpul di peringkat nasional secara automatik mencerminkan realiti di daerah seperti Nabawan, Pensiangan, Tongod, Kalabakan, Telupid, Ranau dan Paitan,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa perjalanan antara Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau memakan jarak kira-kira 630 kilometer untuk satu perjalanan, dengan penggunaan bahan api mencecah sekitar 100 liter.
Anuar mempersoalkan sama ada kerajaan Persekutuan mempunyai data jumlah pengguna diesel di Sabah yang melebihi kuota 300 liter, termasuk petani, nelayan, usahawan luar bandar dan kontraktor di pedalaman.
“Jika kerajaan mempunyai angka ini, ia sepatutnya diterbitkan. Jika tidak, atas asas apakah kerajaan mendakwa dasar ini adil untuk Sabah?” soalnya.
Beliau mengakui rasionalisasi subsidi bertujuan membendung ketirisan dan penyeludupan, tetapi menegaskan bahawa rakyat Malaysia yang patuh undang-undang tidak seharusnya menanggung akibat kegagalan penguatkuasaan.
Anuar mengakhiri dengan tegas: “Rakyat Sabah tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya pertimbangan yang adil dan saksama dalam pelaksanaan dasar-dasar Persekutuan.”

