KOTA KINABALU: 29 Jun 2026 – Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad meneruskan program MACP Jelajah Malaysia Timur 2.0 di Happy Place Restaurant, Kota Kinabalu pada Sabtu, susulan sambutan menggalakkan tahun lalu. Program ini bertujuan memperkukuh kesedaran hak cipta dalam kalangan komuniti kreatif dan mengeratkan hubungan dengan pencipta muzik di Sabah.
Dalam perkembangan utama, MACP mengumumkan dua kategori baharu khusus untuk Ahli MACP di Malaysia Timur yang akan dipertandingkan dalam Anugerah MACP 2026, untuk mengiktiraf sumbangan pencipta di Sabah dan Sarawak.
MACP turut memperkenalkan garis panduan Kecerdasan Buatan (AI) yang menegaskan hanya karya dicipta sepenuhnya oleh manusia layak diiktiraf. Ketua Pegawai Eksekutif MACP, Mary Yap berkata: “MACP mahu memastikan tiada pencipta muzik yang ketinggalan dari menerima hak ekonomi mereka. Secara asasnya: (1) sebarang pelatihan karya hakcipta oleh syarikat AI seharusnya mendapat kebenaran terlebih dahulu disertakan dengan pampasan yang sepatutnya; (2) karya hakcipta yang digunapakai juga perlu didedahkan secara awam untuk pengetahuan pemilik hak cipta.”
Program ini turut menampilkan sesi perkongsian dari Music Publishers Association Malaysia (MPA Malaysia), persembahan dari Dabra Sia dan Hezron (Atmosfera), bersama pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sabah Institute of Arts (SIA). Slot santai “Kahoot Bersama Kupi-Kupi FM” turut diadakan demi memeriahkan program.
Pengarah Malaysia Timur MACP, Roger Wang berkata: “MACP melihat potensi dalam kalangan pencipta muzik di Sabah. Menerusi jelajah 2.0 ini, MACP komited untuk memberi pendedahan, menyebarkan maklumat kepada pencipta muzik baharu dan menyampaikan maklumat secara proaktif mengenai perlindungan karya.”
MACP menyeru sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Sabah untuk memperkukuh penguatkuasaan hak cipta. Kerjasama dengan UMS dan SIA juga dijalin untuk memberi peluang kepada bakat baharu mempamerkan karya kepada pemain industri.
Demi menarik lebih ramai penggiat seni muda, syarat kelayakan keahlian dilonggarkan – pemohon hanya memerlukan satu karya yang telah dimuat naik ke platform penstriman dengan sekurang-kurangnya 1,000 jumlah tontonan.
MACP memperkenalkan portal ‘myKarya’ untuk memudahkan ahli mengurus pendaftaran karya, menyemak maklumat keahlian dan mengakses perkhidmatan disediakan.
“MACP berhasrat agar penggiat seni di Sabah memahami bahawa karya mereka mempunyai nilai yang sangat besar, bukan sahaja dari aspek seni tetapi juga dari sudut ekonomi,” tambah Mary Yap.

