KENINGAU: 25 Jun 2026 – Gejala buli di sekolah memerlukan perhatian khusus dari ibu bapa dan para guru di semua peringkat pendidikan rendah dan menengah demi membendung fenomena yang kian membimbangkan.
Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut berkata, perbuatan buli kini semakin ‘trending’ di mana-mana sahaja tanpa mengira lokasi sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
“Saya menyokong penuh sekiranya pihak berkuasa seperti PDRM dengan sokongan penuh Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah mengadakan ‘road tour’ berupa ceramah berkaitan akta dan kesalahan buli ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, pelbagai insiden buli yang mencetuskan tragedi berlaku sebelum ini termasuk kes Zara Qairina, insiden di kolej tahfiz, MRSM, Akademi Tentera dan baru-baru ini di sebuah sekolah di Tenom.
“Kita juga sering melihat paparan di media sosial berhubung isu buli ini, seolah-olah mereka begitu bangga merakam kejadian buli tanpa segan silu,” jelasnya.
Victor berkata, gejala buli bukan sahaja berlaku di asrama atau kawasan sekolah, malah pelajar juga berani melakukannya di luar sekolah dalam bentuk gangsterisme atau secara berkumpulan.
“Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak sekolah semata-mata kerana ada antara kes ini di luar jangkauan pantauan pihak sekolah.
“Oleh itu, ceramah khusus berkenaan kesalahan buli, akta yang berkaitan dan kesan emosi mangsa – amat perlu diadakan sebagai langkah kesedaran,” ujarnya.
Beliau menegaskan walaupun kempen anti-buli sudah dilaksanakan di semua sekolah, namun ianya perlu diperhebatkan mulai sekarang agar individu yang berpotensi menjadi pembuli dapat mengurangkan niat mereka apabila dihidangkan dengan ceramah, akta sabit kesalahan dan pendekatan yang lebih komprehensif.
Justeru, beliau menyeru ibu bapa agar memantau sikap dan sifat anak masing-masing berdasarkan pengalaman “pernah melalui zaman persekolahan”.
“Dekati anak-anak kita dan mungkin dari situ kita dapat menilai sama ada mereka adalah mangsa atau sebaliknya.
“Kemurungan, tidak berminat ke sekolah atau apa-apa cerita tentang dirinya semasa di sekolah bukan sahaja boleh memberikan gambaran situasi tetapi juga mampu mengeratkan ikatan jiwa antara ibu bapa dan anak-anak,” tambahnya.

