Pendidikan pelaburan terbesar untuk masa depan wilayah Sabah – Mohd Razali

IMG 8206 scaled

KOTA KINABALU: 24 June 2026 – Pendidikan merupakan pelaburan terbesar yang perlu diberikan demi memastikan wilayah Sabah terus maju dan berdaya saing pada masa hadapan.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab berkata pembangunan modal insan berkualiti perlu diberi keutamaan kerana generasi muda hari ini bakal menerajui pelbagai sektor penting di wilayah ini.

“Sekiranya kita ingin melihat Sabah terus maju dan berdaya saing pada masa hadapan, maka pelaburan terbesar yang perlu diberikan ialah kepada pendidikan.

“Apabila kita melabur dalam pendidikan, kita sebenarnya sedang melabur dalam masa depan Sabah,” katanya.

Menurut beliau, murid yang berada di bangku sekolah hari ini bakal menjadi tenaga kerja, usahawan, pemimpin dan inovator yang menentukan hala tuju pembangunan wilayah Sabah pada masa depan.

Katanya, kejayaan wilayah Sabah dalam sektor pelancongan, minyak dan gas, ekonomi digital dan industri baharu bergantung kepada keupayaan melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan mampu bersaing di peringkat global.

Mohd Razali berkata sistem pendidikan yang berkualiti bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup rakyat, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata pendidikan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat berterusan kepada generasi akan datang dan menjadi asas kepada kemajuan wilayah Sabah.

Katanya, usaha memperkukuh pendidikan hari ini akan menentukan keupayaan wilayah Sabah menghadapi cabaran masa depan dan merebut peluang dalam dunia yang semakin dipacu teknologi dan inovasi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Jasamu Dikenang 2026 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal