KOTA KINABALU: 20 Jun 2026 — Sabah National Tabletop Con 2.0 yang berlangsung di Balai Seni Lukis Sabah hari ini menghimpunkan 20 pencipta dan vendor permainan papan dari Malaysia, Singapura dan Brunei, sekali gus memperkukuh kedudukan wilayah Sabah dalam industri kreatif di peringkat serantau.
Penganjuran selama dua hari itu tampil lebih besar berbanding edisi sulungnya dengan penyertaan yang meningkat dan pelbagai aktiviti melibatkan komuniti permainan papan dari dalam dan luar negara.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai berkata, industri kreatif kini memainkan peranan penting dalam memacu inovasi, pelancongan dan pembangunan ekonomi.
Menurutnya, acara seperti Sabah National Tabletop Con bukan sahaja menghimpunkan peminat permainan papan, malah membuka peluang kepada usahawan kreatif untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas.
“Sabah bersedia memainkan peranan yang lebih besar dalam ekonomi kreatif serantau. Melalui platform seperti ini, kita dapat menghubungkan kreativiti, budaya dan pelancongan dalam satu ekosistem yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak,” katanya ketika merasmikan acara itu.
Beliau berkata, permainan papan bukan lagi sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya berkembang sebagai medium pembelajaran, penceritaan budaya dan pembangunan komuniti.
Penganjuran kali ini turut menampilkan pertandingan permainan papan My Trip in Sabah yang mengetengahkan destinasi dan budaya tempatan melalui pengalaman permainan interaktif.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan perlawanan pameran membabitkan peserta dari Malaysia dan Singapura yang bertujuan mengeratkan hubungan komuniti permainan papan di rantau ini.
Acara anjuran Sabah Trade and Tourism Office Singapore (STTOS) dengan kerjasama #Laiplayleow dan D’Hijrah Global itu dijangka menarik ribuan pengunjung sepanjang penganjurannya sehingga esok.
