KOTA KINABALU: 19 Jun 2026 — POIC Sabah Sdn Bhd telah memperkukuh komitmennya terhadap integriti dan tadbir urus selepas seluruh warga kerjanya melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam satu majlis di Ibu Pejabat Kumpulan POIC, Kemarin.
Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata ikrar tersebut melambangkan kesedaran kolektif bahawa rasuah adalah ancaman kepada pembangunan, keadilan, dan generasi akan datang.
Beliau menekankan bahawa budaya integriti perlu dipupuk secara berterusan melalui dasar yang jelas dan kepimpinan yang meneladani contoh baik.
“Ikrar ini mencerminkan kesedaran bersama kita bahawa rasuah adalah ancaman sebenar, dan ia menegaskan bahawa integriti mesti dipupuk melalui dasar yang jelas serta kepimpinan yang berlandaskan teladan,” katanya.
Madius menyatakan amalan rasuah melangkaui rasuah wang tunai, sebaliknya turut merangkumi pemberian hadiah tidak wajar, penyalahgunaan maklumat sulit, dan tindakan yang memberi kelebihan tidak adil.
Beliau juga menggesa kakitangan supaya berani melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran betul.
Terdahulu, warga POIC mengikuti taklimat mengenai Liabiliti Korporat Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang disampaikan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Alexander S. Kunghi, bagi meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab dan pematuhan korporat.

Majlis itu turut menyaksikan sesi menandatangani Sijil Ikrar Bebas Rasuah oleh Madius dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Fredian Gan, yang disaksikan Mohd Fuad Bee, sebelum sijil diserahkan kepada SPRM Sabah sebagai simbol komitmen POIC.
Turut hadir ialah Pengarah SPRM Sabah, Datuk Timbalan Pesuruhjaya Mohd Fuad Bee Haji Basrah; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan POIC Sabah, Dato’ Dr Janathan Kandok; serta ahli lembaga dan pengurusan tertinggi syarikat.
Madius merakamkan penghargaan kepada SPRM Sabah atas kerjasama dan perkongsian ilmu, dan berharap hubungan baik kedua-dua pihak terus diperkukuh demi membudayakan integriti dalam organisasi.
