ANAK desak reformasi pendaftaran kelahiran, tarik balik reservasi CRC

WhatsApp Image 2026 06 18 at 9.18.17 AM

KOTA KINABALU: 16 Jun 2026 – Advocates for Non Discrimination and Access to Knowledge (ANAK) menggesa Kerajaan Malaysia segera melaksanakan reformasi pendaftaran kelahiran dan menarik balik semua reservasi terhadap Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), berikutan krisis kanak-kanak tanpa dokumen dan tanpa kewarganegaraan yang semakin meruncing di Sabah.

Pengarah Eksekutif ANAK, Anne Baltazar, berkata tujuh daripada sepuluh daerah termiskin bagi kanak-kanak di Malaysia terletak di Sabah, manakala tempoh pendaftaran kelahiran di negeri itu dihadkan kepada 45 hari sahaja berbanding 60 hari di Semenanjung Malaysia.

Beliau yang menjadi pakar panel dalam Simposium Reformasi Perundangan Hak Kanak-Kanak di Parlimen Malaysia pada 8 dan 9 Jun lalu menegaskan bahawa pendaftaran kelahiran adalah hak asasi manusia yang paling asas dan tidak boleh dikompromi, dan tidak memberikan kewarganegaraan secara automatik.

Menurut Indeks Kesejahteraan Kanak-kanak Sabah, hanya 6.1 peratus kanak-kanak di Sabah memenuhi ambang asas untuk hidup dalam persekitaran selamat, manakala dalam kalangan kanak-kanak tanpa dokumen, hanya 0.6 peratus yang memenuhi ambang asas kesihatan.

Anne turut mengingatkan penularan wabak polio di Sabah sebelum pandemik COVID-19 sebagai kesan langsung dari bilangan kanak-kanak tanpa dokumen yang tinggi yang tidak menerima imunisasi, dan memberi amaran bahawa kegagalan melindungi kanak-kanak terpinggir akan meletakkan seluruh masyarakat dalam risiko.

Simposium dua hari yang bertemakan “Akta Kanak-kanak 2001 dan CRC: Amalan Baik” itu dianjurkan bersama oleh Parlimen Malaysia, SUHAKAM dan All Party Parliamentary Group Malaysia on Children’s Rights (APPGM-CR), dengan kerjasama Yayasan Sime Darby dan Kedutaan Kerajaan Belanda.

ANAK turut mendesak pindaan Akta Kanak-kanak 2001 bagi melindungi kanak-kanak tanpa mengira status dokumentasi, menamatkan penahanan kanak-kanak di depot imigresen, serta memperkasakan program jangkauan pendaftaran kelahiran bergerak di kawasan terpencil Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal